NANTERRE, Perancis – Bekas Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang sedang menjalani penggantungan, Michel Platini hari ini dibebaskan selepas ditahan untuk siasatan selama beberapa jam berhubung kes memberi hak penganjuran Piala Dunia 2022 kepada Qatar.
Legenda bola sepak Perancis itu yang mengetuai UEFA dari 2007 hingga 2015 ditahan semalam oleh bahagian pencegahan rasuah polis Perancis selepas dikaitkan dengan tuduhan menerima habuan pada 2010 sehingga membolehkan Qatar menang dalam bidaan mereka.
Platini, 63, bagaimanapun menafikan dakwaan itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan wakilnya dengan berkata, fakta mengenai kes tersebut berada di luar pengetahuannya.
Terdahulu beberapa jam sebelum dilepaskan, peguamnya, William Bourdon mengesahkan, Platini akan dibebaskan tanpa dikenakan sebarang tuduhan sambil menyifatkan semua tuduhan ke atas anak guamnya adalah tidak berasas sama sekali.
Platini yang kemudiannya dibawa keluar daripada pejabat anti rasuah polis di sini dalam keadaan keletihan sempat memberi respon kepada pertanyaan pemberita yang menunggunya di luar.
“Ia siasatan yang panjang tetapi hanya mempertimbangkan beberapa soalan sahaja untuk dijawab. Ia jadi lebih panjang sebab saya ditanya tentang Euro 2016, Piala Dunia di Rusia, Piala Dunia di Qatar dan berkaitan FIFA,” katanya ringkas. – AFP











