KOTA BHARU – Pasukan The President Warriors (TPW) berkemungkinan besar ‘bungkus’ daripada meneruskan dalam saingan Piala Presiden 2019, sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak melunaskan tunggakan gaji barisan pemain selama tiga bulan selewat-lewatnya esok.
Sumber TPW berkata, semua pemain telah mencapai kata sepakat dan bertegas tidak lagi akan turun berlatih selepas Hari Raya Aidilfitri sekiranya KAFA masih bersikap ‘bodoh sombong’ dalam isu tersebut.
Menurutnya, surat kepada Bibi Ramjani Ilias Khan selaku Presiden KAFA sudah dihantar bagi menuntut keadilan selepas badan induk itu tidak cakna terhadap kebajikan barisan pemain TPW.
“Boleh dikatakan hampir kesemua pemain dan pegawai pasukan ini telah menghantar surat kecuali dua orang iaitu jurulatih dan kitman tidak berbuat demikian. Hal ini kerana mereka baharu menyertai pasukan sekitar April dan Mei lalu,” katanya.
Sumber TPW berkata, sekitar Febuari lalu, TPW hanya mendapat bayaran sebanyak RM500 sebagai ‘gaji’ sedangkan mereka sepatutnya mendapat lebih daripada jumlah tersebut.
Katanya, masuk sahaja bulan Mac hingga Mei lalu barisan TPW langsung tidak menerima bayaran.
“Zalim sungguh apa yang dilakukan oleh KAFA, dengan gaji tak dibayar sejak tiga bulan lalu, macam mana pemain nak beri komitmen terbaik di atas padang. Mereka juga perlukan duit untuk menampung kehidupan, nak isi minyak motor untuk datang berlatih.
“Ini tinggal dua hari lagi nak sambut raya, rasanya tak ada persiapan apa-apapun. Nak beli baju macam mana kalau gajipun tak bayar. Malang sungguh nasib pemain pelapis Kelantan pada musim ini,” ujarnya.
Sumber itu memberitahu, barisan pegawai dan kejurulatihan pasukan itu apabila turut menerima RM500 bagi Februari, selain, gaji Mac dibayar separuh pada minggu lalu.
Jelasnya, bagaimanapun, gaji pegawai pasukan untuk bulan April dan Mei masih tertunggak. – UTUSAN ONLINE











