PENDANG – Kerajaan negeri akan mengambil kira pandangan ramai yang meminta pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, dekat sini turut dibuka kepada semua kategori selama 24 jam.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Asmirul Anuar Aris berkata, cadangan itu akan dibawa ke peringkat tertinggi untuk dipertimbangkan.
Menurut beliau, sekiranya cadangan tersebut baik untuk kepentingan masyarakat, pihaknya boleh mengadakan rundingan dengan kerajaan Thailand menerusi kerajaan Pusat.
“Sesiapa sahaja boleh cadang dan kita akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Exco akan datang, namun apa-apa jua keputusan mengenainya adalah terletak kepada kerajaan Pusat untuk diputuskan,” katanya selepas merasmikan Proriders Auto (M) Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Proriders Auto, Mohammad Faiz Mansor.
Isnin lalu, pintu sempadan Malaysia-Thailand bagi laluan kenderaan berat dan kargo secara 24 jam mula dibuka untuk tempoh percubaan selama tiga bulan sehingga 17 September ini.
Operasi itu melibatkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand. – UTUSAN ONLINE











