KUALA LUMPUR – Butik pakaian dan pusat beli-belah di ibu negara terus dipenuhi pengunjung yang mencari persiapan menyambut lebaran meskipun sudah ramai yang mula pulang ke kampung bagi menyambut lebaran beberapa hari lagi.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) semalam mendapati orang ramai masih sibuk berbelanja membeli kelengkapan hari raya terutamanya pakaian dan kuih raya untuk dihidangkan kepada tetamu pada Aidilfitri nanti.
Seorang pekerja swasta, Zahisyam Abdul Karim, 24, berkata, dia memilih untuk membeli-belah bersama keluarga pada saat akhir atas faktor kesibukan kerja.
“Kebiasaannya saya akan mula bercuti beberapa hari sebelum hari raya, jadi masa cuti ini baru saya berpeluang untuk membuat persiapan bersama keluarga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang pelanggan, Nor Saliza Mohd. Nor, 40, pula berpendapat, membeli kelengkapan raya pada saat akhir lebih berbaloi berbanding berbelanja lebih awal.
“Membeli-belah ketika hujung bulan puasa lebih seronok kerana bukan sahaja meriah dengan kunjungan ramai pelanggan malah kebanyakan peniaga juga akan memberikan diskaun.
“Sudah menjadi rutin setiap tahun saya akan membeli kelengkapan hari raya di sekitar Jalan TAR walaupun penuh dengan pelanggan, kemeriahan untuk menyambut perayaan itu cukup dirasai,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai tudung, Fitri Sarif, 30, berkata, trend membeli-belah pada saat akhir memang sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan pelanggan.
“Kecenderungan peniaga yang membuat jualan murah pada saat akhir juga mungkin menjadi salah satu faktor pelanggan lebih gemar berbelanja pada saat-saat akhir,” katanya.











