KUALA LUMPUR – Keprihatinan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah terhadap rakyat sememangnya menjadi perhatian jika berlaku bencana atau majlis-majlis kebajikan.
Namun dalam kesibukan itu Permaisuri Agong yang juga Tengku Ampuan Pahang tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai isteri melayani suami, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah.
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung pada 2 Syawal lalu di Istana Sultan Abdulaziz Kuantan, Pahang baru-baru ini menunjukkan satu sisi yang jarang didedahkan kepada rakyat.
Segalanya bermula apabila Seri Paduka yang juga Sultan Pahang masuk ke Dewan Makan Utama Khas untuk kerabat diraja dan tetamu khas untuk santapan selepas beramah mesra bersama rakyat.
Menurut pegawai media kepada Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Mahathir Ali, dia ketika itu berada di luar istana selepas merakam gambar Seri Paduka yang bertemu rakyat.
Katanya, dia kemudian mendapat panggilan telefon daripada Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff supaya masuk ke dewan tersebut tanpa menyatakan apakah tujuan berbuat demikian.
Tambahnya, desakan panggilan telefon oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar itu yang merasai ada sesuatu menarik perlu dirakam olehnya.
“Beberapa kali saya mendapat panggilan daripada Datuk Mohammad Fakruddin supaya masuk tetapi gagal lalu Setiausaha Sulit Tengku Ampuan Pahang, Zamzurina Ahmad mengiringi saya ke dewan berkenaan.
“Ketika masuk ke dewan itu saya terpinga-pinga apakah yang perlu dirakam namun naluri seorang jurugambar yang dapat membaca gerak-geri badan seseorang membuatkan saya mengeluarkan kamera dan merakam gambar Permasuri Agong menyediakan santapan kepada Seri Paduka,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Menurut Mahathir, dia merakamkan setiap detik bagaimana Tunku Azizah mengambil makanan sehingga menghidangkannya kepada Seri Paduka.
“Saya jadi terpegun melihat Raja Permaisuri Agong melayani Sultan Abdullah. Bukan mudah mendapat rakaman seperti ini kerana ramai tidak mengetahui sisi di sebalik kehidupan di istana.
“Tunku Azizah melayani Seri Paduka dengan penuh kasih sayang walaupun Sultan Abdullah kelihatan keletihan selepas bertemu rakyat,” katanya.
Bekas jurugambar Utusan Malaysia itu menambah, selesai santapan, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengukir senyuman ketika dia merakam detik bersejarah itu.
Menurut Mahathir, selepas merakam detik tersebut, Sultan Abdullah secara sponton bergurau dengannya sambil bertitah, “Ini ‘nurse’ beta.”
Detik bersejarah itu kemudian dimuat naik oleh Mahathir dalam akaun Facebook miliknya dan mendapat lebih 2,000 tanda suka dan 706 kongsi status tersebut.
Menurutnya, semua gambar itu diambil secara kebetulan tanpa meminta perkenan Seri Paduka.
“Ini kenangan paling indah pada saya dan tidak dapat melupakannya sampai bila-bila,” katanya. – UTUSAN ONLINE










