Perintah berkurung 7 daerah ESSZONE dilanjutkan - Utusan Malaysia

Perintah berkurung 7 daerah ESSZONE dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok akan dilanjutkan susulan maklumat berhubung kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan Abu Sayaf masih cuba menceroboh masuk diterima.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkurung dari pukul 6 petang hingga 6 pagi yang dilanjutkan sehingga 25 Jun itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di rumah dan tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan itu dalam tempoh berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan KFR dan Abu Sayaf masih cuba menceroboh masuk ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Omar berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menggunakan perairan dan daratan ESSZONE.

Ujarnya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini