WARGA media sosial di seluruh dunia menukar gambar profil mereka kepada warna biru bagi menunjukkan solidariti kepada pergolakan di Sudan dan membawa kesedaran global mengenai pemberontakan di negara tersebut.
Perkara itu terjadi apabila seorang pemuda berusia 26 tahun, Mohamed Hashim Mattar atau lebih dikenali sebagai Mohamed Mattar telah ditembak mati oleh Pasukan Bantuan Rapid (RSF) separa tentera Sudan ketika tunjuk perasaan secara aman di ibu negara itu, Khartoum pada 3 Jun lalu.
RSF terdiri daripada Militia Janjaweed yang bertanggungjawab memerangi kumpulan pemberontak bagi pihak tentera.
Kumpulan tersebut melakukan banyak pelanggaran hak asasi manusia semasa perang saudara di Darfur dan rejim Sudan telah menggunakan perkhidmatan mereka selama bertahun-tahun.
Pemuda tersebut yang merupakan seorang jurutera lulusan Universiti Brunel di London bertindak melindungi dua orang wanita ketika tunjuk perasan tersebut sehingga meragut nyawanya.
Siapa sangka kematian tersebut membawa fenomena gelombang biru dan menarik perhatian masyarakat dunia terhadap isu di negara Utara Afrika itu.
Warna biru yang menjadi simbolik solidariti bagi rakyat Sudan itu diambil sempena warna kegemaran Mohamed Mattar.
Sejak kejadian berdarah yang menimpa pemuda itu, keluarga dan rakan-rakannya menggunakan warna tersebut sebagai profil di media sosial untuk menghormati kematiannya.
Tidak lama kemudian, gelombang biru itu merebak kepada pengguna media sosial seluruh di dunia bagi menghormati kematiannya dan mangsa pemberontakan lain di Sudan.
Di samping itu, gambar Mohamed Mattar yang menyambut hari lahir dua hari sebelum kematiannya juga tular di internet yang mendapat simpati para netizen.
Mesej kesedaran
Mesej kesedaran dengan tanda pagar #BlueForSudan turut mendapat perhatian para selebriti antarabangsa seperti Rihanna, Naomi Campbell, Ne-Yo dan Demi Lovato yang juga bertindak menukar gambar profil kepada warna biru bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Sudan.
Para selebriti itu juga memuat naik status dan berkongsi kedukaan tentang apa yang berlaku di Sudan.
Salah seorang rakan kepada Mohamed Mattar, Shahd Khidir berkata, sebaik sahaja pemuda itu dibunuh, keluarga dan rakan-rakan telah menukar gambar profil mereka di media sosial kepada warna biru dan tidak menyangka tindakan tersebut menarik perhatian masyarakat dunia yang bersama-sama ingin menunjukkan solidariti.
“Sekarang warna tersebut menjadi simbol solidariti dan mewakili semua rakyat Sudan yang terlibat dalam tunjuk perasaan itu,” ujarnya yang juga merupakan seorang influencer kecantikan di Instagram.
Kuku besi
Tunjuk perasan di Sudan telah bermula sejak Disember tahun lalu apabila penduduk di bandar Atbara Utara tidak puas hati dengan kenaikan kos sara hidup.
Pihak pemerintah pada ketika itu menaikkan tiga kali ganda harga roti lantas mencetus protes besar-besaran terhadap Omar al-Bashir pada Disember lalu ekoran pemerintahan kuku besinya.
Rakyat Sudan telah mengadakan protes di jalanan secara aman supaya beliau meletak jawatan selepas 30 tahun memerintah.
Selepas digulingkan April lalu, penunjuk perasaan masih berkhemah selama beberapa minggu di Khartoum bagi mendesak pemimpin tentera untuk memulakan peralihan kuasa.
Walaupun tentera telah berjaya menggulingkan bekas presiden itu tetapi demonstrasi aman tidak berakhir apabila penunjuk perasaan berasa kecewa kerana tentera mengumumkan ia akan mengambil alih kuasa selama tiga tahun sebelum peralihan menuju demokrasi.
Beratus-ratus penunjuk perasaan dibunuh dan dicederakan oleh RSF ekoran seruan mereka supaya menyegerakan peralihan kepada kerajaan demokratik.
Sejak pengulingan bekas presiden itu, penguasa tentera telah mengurangkan akses internet dan kumpulan hak asasi mengatakan ia hampir terputus sepenuhnya pada 10 Jun lalu menyebabkan para penunjuk perasaan terputus hubungan dengan dunia luar.
Salah seorang pengguna Instagram, Sarah al-Amoudi berkata, gambar profil yang berwarna biru telah membuatkan orang ramai tertanya-tanya dan cenderung untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut
“Justeru, ia secara tidak langsung dapat menyedarkan masyarakat dunia akan konflik kemanusiaan yang sedang berlaku di Sudan.
“Media sosial menjadi alat penting dalam meningkat kesedaran orang ramai dan berkongsi maklumat terkini,” katanya.
Kejam
Menurut laporan Aljazeera, Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan mengatakan beratus-ratus orang terbunuh, dipukul dengan kejam, tercedera dan dirogol.
Sebanyak 40 mayat dibawa keluar dari Sungai Nil dipercayai dibunuh oleh askar RSF.
Oleh kerana media di negara tersebut ditutup maka, penunjuk perasaan menggunakan media sosial sebagai usaha terakhir untuk menarik perhatian dunia terhadap kejadian di sana.
Penggunaan media sosial sebagai simbol solidariti bukanlah sesuatu yang asing untuk menyebar kesedaran kepada penduduk dunia apabila berlaku tragedi.
Ia pernah dilakukan sebelum ini seperti tragedi kebakaran di Katedral Notre Dame, Paris, serangan di London, New Zealand serta Manchester.











