KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengambil tindakan secara pentadbiran dengan menempatkan penguat kuasa yang didakwa meminta suapan di sebuah pusat beli-belah di Kelana Jaya dekat sini, Isnin lalu dengan melaksanakan kerja-kerja dalaman di pejabat.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar kepada pemberita ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MBPJ di Stadium Petaling Jaya, Jalan SS7/15, Kelana Jaya dekat sini, hari ini.
Mohd. Sayuthi berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beliau tidak akan mengulas lebih lanjut sehingga siasatan selesai.
Menurutnya, sama ada akan ada pertuduhan atau tidak ia bergantung kepada siasatan SPRM sendiri.
“Siasatan dalaman masih diteruskan dan saya memerlukan sedikit masa untuk tindakan seterusnya.
“Ini kerana mereka masih lagi dipanggil untuk memberi keterangan di SPRM,” katanya.
Katanya, tindakan serupa dibuat oleh jabatan-jabatan penguat kuasa yang lain bagi memberikan kesedaran kepada mereka dengan menjalankan pemantauan yang lebih ketat kepada individu-individu terlibat.
“Jika mereka didapati terlibat dalam kes ini, kami akan menghantar mereka mengikuti kursus khas, motivasi dan sebagainya bagi meningkatkan integriti diri,” katanya.
Ujarnya, MBPJ juga mempunyai sistem kawalan yang lebih efektif untuk mengurangkan dan mengelakkan anggota penguat kuasa dalam melakukan kesalahan-kesalahan yang boleh melibatkan pelanggaran integriti. – UTUSAN ONLINE










