KARIER sebagai atlet pastinya memerlukan seseorang individu itu meletakkan sasaran tertinggi yang mampu dicapai memandangkan ia bakal menjadi penanda aras terhadap pencapaian mereka selain memahat nama sebagai salah seorang atlet terbaik.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, setiap atlet perlu bersedia untuk melakukan pengorbanan, tidak kira sama ada perlu meninggalkan keluarga mahupun melupakan hari paling istimewa bagi mengejar impian bergelar atlet profesional.
Itulah yang turut berlaku kepada pemain beregu lelaki profesional negara, Mohamad Arif Latif yang akan berkelana ke Kanada pada Hari Raya Aidilfitri bagi merealisasikan hasratnya untuk menjejakkan kaki ke temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun depan.
Sudah menjadi lumrah, Hari Raya Aidilfitri pastinya menjadi hari yang sangat penting buat umat Islam bagi meraikan kejayaan menahan lapar dan dahaga sepanjang Ramadan, namun Arif terpaksa mengorbankan kegembiraan tersebut memandangkan perlu berangkat ke Kanada pada hari raya kedua.
Arif yang bakal menyertai Akademi Badminton CST di Montreal mengakui perasaannya bercampur-baur apabila terpaksa meninggalkan keluarga serta melupakan makanan kegemarannya, rendang daging yang sudah pasti tidak akan ditemui di benua Amerika Utara itu.
Katanya, biarpun sempat bersama keluarga pada hari raya pertama, namun ia masih belum cukup buat pemain berusia 30 tahun itu memandangkan dia tidak sempat untuk bersua muka dengan saudara-mara sebelum berlepas ke Kanada.
“Sebenarnya saya sudah biasa menyertai kejohanan di luar negara pada hari raya tetapi tahun ini diberi kesempatan untuk bersama keluarga pada hari raya pertama dan saya amat bersyukur. Bagaimanapun, agak sedih juga apabila tidak dapat bertemu saudara-mara lain ke-rana perlu berlepas ke sana pada hari raya kedua.
“Inilah pengorbanan yang perlu saya lakukan bagi mengejar impian untuk menjejakkan kaki ke pentas Sukan Olimpik buat kali pertama dalam karier saya. Walaupun perlu tinggalkan keluarga dan rendang daging, namun saya perlu pendam perasaan sedih itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Arif yang bergandingan bersama Nur Mohd. Azriyn Ayub menghuni tangga ke-30 ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada ketika ini dan mereka perlu memperbaiki kedudukan sekurang-kurangnya ke kelompok lapan teratas jika mahu beraksi di Olimpik.
Sebaik menyertai akademi badminton tersebut, Arif akan menjalani latihan hampir sebulan sebelum beraksi pada kejohanan Terbuka Kanada dan Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung Julai depan.
Keputusan bekas pemain kebangsaan itu berkelana ke luar negara turut membawa tuah buatnya apabila akademi berkenaan sedia membiayai sepenuhnya kos penyertaan setiap kejohanan sehingga Sukan Olimpik 2020 membuka tirainya.
“Saya akan jalani latihan selama sebulan bagi mengembalikan kecergasan selepas lama berehat sebelum menyertai kejohanan Terbuka Kanada dan Terbuka AS Julai nanti. Harapan saya sudah pasti untuk merangkul gelaran juara bagi memperbaiki ranking kami.
“Berhubung kos bagi setiap kejohanan, saya tidak perlu bimbang lagi memandangkan kelab sudah menyediakan peruntukan untuk saya dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik tahun depan. Tugas saya sekarang adalah untuk membalas kepercayaan mereka,” ujarnya lagi.
Meskipun masih memiliki masa untuk merebut slot ke Sukan Olimpik tahun depan, namun Arif mengakui berdepan saingan sengit daripada tiga beregu lain, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
Arif-Azriyn wajar untuk berasa terancam memandangkan ketiga-tiga beregu berkenaan menghuni ranking lebih tinggi berbanding mereka dan memiliki peluang lebih cerah untuk melangkah ke temasya sukan terbesar dunia itu.
“Saya tahu kami perlu bersaing dengan mereka untuk merebut slot ke Sukan Olimpik tahun depan. Oleh itu kami tidak boleh duduk diam lagi dan perlu catat keputusan lebih baik dalam setiap kejohanan akan datang. Menerusi kemenangan sahaja kami boleh tingkatkan keyakinan serta cerahkan peluang ke Tokyo.
“Apa yang paling penting adalah kami fokus terhadap satu demi satu perlawanan dalam setiap kejohanan. Kami tidak boleh terlalu fikirkan kemenangan kerana ia boleh mengganggu tumpuan dan ia mungkin akan menyebabkan kami gagal mencapai apa yang diimpikan,” tambah Arif.
Justeru, Arif berharap pengorbanan yang dilakukan kali ini dengan meninggalkan keluarga di tanah air bakal menghasilkan pulangan lumayan kepada diri-nya dalam usaha memastikan dia dan Azriyn dapat menjejak kaki ke Sukan Olimpik tahun depan.









