PERANGKAAN demografi bagi suku tahun pertama 2019 melaporkan penduduk di Malaysia yang dicatatkan dianggarkan berjumlah 32.66 juta, dengan penduduk lelaki melebihi perempuan.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan pada bulan lalu, penduduk lelaki yang dicatatkan dalam tempoh itu berjumlah 16.86 juta berbanding penduduk perempuan seramai 15.80 juta dengan nisbah jantina 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Daripada 32.66 juta penduduk itu, sebanyak 29.31 juta merupakan penduduk warganegara, manakala 3.35 juta bukan warganegara.
Perubahan daripada segi gender antara pertambahan jumlah lelaki berbanding wanita di Malaysia ini relatifnya masih rendah berbanding beberapa negara lain seperti China, Norway, Sweden dan lain-lain.
Penambahan ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti saintifik, penghijrahan, kebersihan, kesihatan dan lain-lain.
Namun begitu, kesan perkembangan ini juga berkait dengan dasar-dasar negara sedia ada, polisi syarikat-syarikat dalam dan luar negara serta norma dan etika dalam masyarakat.
Sebagai contoh, beberapa perundingan dan bengkel telah diadakan oleh HAWA dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bagi mendapatkan kata sepakat dan sokongan bagi syor-syor antarabangsa dalam penglibatan wanita.
Ini melalui perancangan tindakan dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, pendidikan dan latihan, undang-undang, pekerjaan, politik, media, agama, kebudayaan dan sebagainya.
Oleh itu, berlaku peningkatan wanita secara mendadak dalam sektor perkhidmatan seperti berikut: Pada 1990, sejumlah 37.9 % wanita yang terlibat dalam sektor perkhidmatan berbanding dengan 29.4 % pada 1980 dan 28.9 % pada 1970.
Keseluruhannya, penglibatan wanita semakin pesat. Tambahan pula, penggubalan Dasar Wanita Negara (DWN) mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk mengoptimumkan potensi kaum wanita dalam pembangunan negara.
Memang tidak dinafikan masyarakat begitu sedar bahawa peranan wanita dalam bidang kerjaya di Malaysia banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Daripada segi identiti kendiri, wanita secara signifikannya lambat kerana berlaku konflik yang bertentangan dengan nilai kewanitaan berbanding lelaki.
Namun, dengan dasar-dasar kerajaan dan undang-undang berkaitan perlindungan wanita semua masalah dapat diatasi dan menggalakkan secara mendadak penglibatan wanita sama ada dalam bidang pendidikan apatah lagi dalam dunia kerjaya sekarang ini.
Soal berkahwin atau tidak, ia lebih menjurus kepada pilihan setiap individu berkenaan. Perubahan bilangan jantina ini tidak memberi kesan yang besar.
Malah boleh dikatakan faktor pemilihan wanita untuk berkahwin sama ada berkahwin awal atau lewat atau tidak mahu berkahwin dipengaruhi juga oleh faktor-faktor lain yang lebih signifikan seperti tiada pasangan sesuai dan lebih pentingkan kerjaya serta tidak mahu terikat dengan komitmen berkeluarga.
Kajian Keluarga dan Penduduk Malaysia Kelima 2014 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan 35.7 % wanita bujang memberikan alasan tiada pasangan sesuai antara alasan utama mereka lewat berkahwin dan menjadi punca mereka membujang.
Juga kira-kira 18.1 % menjadikan faktor mengejar kerjaya sebagai sebab mereka lambat berkahwin. Sejumlah 26 % lagi pula disebabkan oleh masalah kewangan.
Oleh itu, jelas menunjukkan pertambahan jumlah bilangan lelaki berbanding wanita kemungkinan hanya memberi impak minimum sekali jika dikaitkan dengan isu tidak berkahwin atau andartu.
Soal peningkatan bilangan lelaki berbanding wanita memang tidak memberi kesan besar kepada penempatan pelajar di universiti awam (UA) di negara ini.
Ini kerana, proses kemasukan ke UA terutamanya lebih bergantung kepada pencapaian akademik seseorang individu dan beberapa penilaian lain seperti ujian MEDSI, ujian-ujian khas dan temuduga ditetapkan serta bergantung kepada bidang yang dipohon.
Pelajar cemerlang dalam pendidikan dan berjaya dalam tapisan seterusnya yang ditetapkan pihak UA akan mendapat tempat di universiti awam. Sistem pendidikan negara tidak melibatkan sistem kuota libatkan gender.
Ia lebih bergantung kepada persaingan secara sihat dan positif dalam bidang akademik daripada peringkat sekolah hinggalah kemasukan ke universiti.
Kekurangan pelajar lelaki dan lebihnya pelajar perempuan di UA lebih berkait dengan pencapaian individu tersebut dalam bidang akademik dan pencapaian lain seperti dibincangkan tadi.
Namun begitu, bagi menyeimbangkan keadaan ini bolehlah dicadangkan agar disediakan laluan khas kepada mereka serta hanya mengenakan syarat kelulusan minimum kepada golongan lelaki.
Cadangan ini bagaimanapun ada pro dan kontra yang mana dijangkakan akan memberi kesan pada diri individu tersebut atau pihak universiti sendiri dalam jangka masa pendek dan panjang.
PROF. MADYA DR. SYED SOFIAN SYED SALIM ialah Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.











