PUTRAJAYA – Kedudukan penarafan Quacquarelli Symonds (QS) universiti seharusnya tidak menjadi keutamaan sebaliknya universiti awam dan swasta perlu fokus kepada elemen yang memberi impak terhadap ekosistem pendidikan tinggi di Malaysia.
Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik berkata, ekosistem berintelektual dan kondusif lebih penting selain pengisisan visi dan misi sesebuah universiti perlu diberi keutamaan.
“Semua universiti di negara ini perlu mempunyai keupayaan untuk menghasilkan graduan pelbagai bakat, kalis masa depan, cekal dan sentiasa mempunyai daya adaptasi terhadap perubahan.
“Kita mahu Malaysia menjadi watan kepada universiti yang menghasilkan para akademik berteraskan integriti dan mempunyai tanggungjawab sosial,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengulas pencapaian terbaharu universiti tempatan berdasarkan Laporan QS World University Rankings 2020 (WUR2020), beliau berkata universiti awam dan swasta perlu mampu melahirkan graduan holistik bercirikan Revolusi Industri 4.0.
Katanya, kerajaan kini berada di landasan tepat dalam menyediakan institusi pendidikan tinggi yang berkualiti selaras ciri berkenaan.
“Ia secara tidak langsung menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau ini dan akan menjadikan universiti di negara ini sebagai pilihan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian,” katanya.
Menurut laporan WUR2020, lima universiti awam tempatan menunjukkan peningkatan kedudukan dalam senarai baharu laporan QS yang dikeluarkan semalam.
Universiti Malaya (UM) kekal sebagai universiti nombor satu negara apabila melonjak kedudukannya ke-70 dengan skor keseluruhan sebanyak 67.1 peratus, meningkat 7.2 peratus berbanding tahun lalu. – UTUSAN ONLINE.











