Pemuda UMNO Arau lulus usul parti hadkan tempoh bercuti pemimpin - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Arau lulus usul parti hadkan tempoh bercuti pemimpin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau sebulat suara meluluskan usul memperkenalkan had tempoh bercuti untuk semua jawatan di dalam parti bagi memastikan organisasi dapat bergerak dengan sempurna.

Usul tersebut dibentangkan oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau, Mohd. Shukur Roshidi dalam persidangan yang dirasmikan oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohd. Shahar Abdullah di Hotel Putra Regency sini hari ini.

Mohd. Shukur berkata, tindakan seseorang pemimpin yang bercuti selama berbulan-bulan tanpa ada sebab darurat seperti keuzuran dilihat seolah-olah tidak bertanggungjawab sekali gus merencatkan urusan pentadbiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh yang demikian, bagi memastikan kekuatan UMNO dapat digembleng dengan lebih jitu. Adalah diharapkan masalah satu kapal dua nakhoda dapat diselesaikan segera.

“Dalam erti kata lain, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlulah membuat keputusan dengan mengutamakan kepentingan parti lebih daripada kepentingan diri berkaitan soal cuti ini,” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau Syed Atif Syed Abu Bakar dan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Abdul Azim Abdullah.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengambil keputusan untuk bercuti bagi memberi fokus terhadap kesnya di mahkamah dengan jawatan Presiden UMNO itu dipangku oleh timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan sehingga kini.

Selepas itu, turut terdapat gesaan di dalam parti sendiri agar Ahmad Zahid terus bercuti dan tidak mengambil semula tugas sebagai presiden.

Sementara itu, Mohd. Shukur berkata,mengambil contoh dalam sektor awam mahupun swasta, cuti tahunan biasanya dihadkan dalam lingkungan 14 ke 21 hari dalam setahun manakala cuti paling lama biasanya didengar selama dua tiga bulan sahaja iaitu bersalin.

“Jika seseorang pekerja memilih untuk bercuti panjang, pekerja tersebut biasanya dinasihatkan berhenti atau terus dipecat bagi melicinkan urusan pentadbiran dan perjalanan organisasi,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini