Pemuda mungkin cacat ditembak anggota trafik - Utusan Malaysia

Pemuda mungkin cacat ditembak anggota trafik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seorang pemuda mungkin cacat seumur hidup apabila tangan kirinya ditembak seorang anggota polis trafik ketika cuba memberhentikan motosikal dinaiki mangsa dan rakannya di Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku semasa mangsa, Mohamad Alif Aiman Anuar, 21, sedang membonceng motosikal ditunggang oleh rakannya untuk ke tempat kerja mereka di Alor Mengkudu di sini.

Mereka dikatakan melanggar sebuah lampu isyarat menyebabkan anggota polis trafik yang kebetulan berada di tempat tersebut bertindak mengejar kedua-duanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut ibu mangsa, Hashimah Mahmood, 49, berikutan kejadian itu, Mohamad Alif Aiman yang bekerja sebagai tukang paip kini kritikal dan ditempatkan di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Katanya, pihak hospital telah memaklumkan bahawa akan menjalankan satu pembedahan bagi mengeluarkan sebutir peluru pada tangan anaknya tersebut malam ini.

“Saya dan keluarga mengakui anak saya bersalah kerana melarikan diri semasa cuba ditahan, yang dipercayai disebabkan rakannya itu tiada lesen memandu.

“Namun tindakan anggota itu meninggalkan anak saya dalam keadaan berlumuran darah untuk membuat laporan polis tanpa berusaha memanggil ambulans adalah tidak wajar.

“Saya ingin menuntut keadilan untuk anak saya yang mungkin kini cacat seumur hidup,” katanya ketika ditemui di sini, malam ini.

Menurut Hashimah, berdasarkan percakapan anaknya, anggota itu melepaskan tembakan di bahagian tayar motosikal tetapi tersasar dan mengenai mangsa.

Katanya, malah tindakan anggota terbabit yang sempat berhenti dan meminta anaknya itu tidak ke hospital, sebaliknya hanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan turut menimbulkan tanda-tanya.

“Rakan anak saya telah menelefon majikan mereka sebelum mendapatkan khidmat ambulans,” katanya lagi.

Dia menegaskan bahawa anaknya itu bersih daripada sebarang rekod jenayah dan tidak membawa apa-apa senjata melainkan peralatan kerja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini