Pelayar sasar empat emas Sukan SEA - Utusan Malaysia

Pelayar sasar empat emas Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) menyasarkan membawa pulang empat pingat emas daripada 12 acara yang akan disertai, pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

Ketua Kontinjen (CDM), Negara Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sasaran yang ditetapkan itu tidak terlalu tinggi, dan mampu dicapai.

“Ada beberapa acara yang menjadi kegemaran kita telah digugurkan, ada pula atlet dalam acara yang menyumbang pingat pada kejohanan lepas, sudah melebihi umur dan akan bertanding dalam kategori lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun demikian hasil taklimat tadi, pasukan negara masih memiliki ramai atlet yang berpotensi untuk menyumbang pingat emas. MYA tidak tetapkan acara mana yang akan menyumbang pingat emas, kerana semua acara boleh memberikan saingan,” katanya selepas melawat dan menghadiri taklimat skuad pelayaran negara di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di sini hari ini.

Megat Zulkarnain yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) diberikan taklimat hampir sejam oleh pengurus pasukan, Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan.

Megat Zulkarnain berkata, seramai 18 daripada 46 altet yang sedang menjalani latihan di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di sini akan dipilih mewakili negara, pada kejohanan dwi tahunan tersebut.

Katanya, senarai akhir atlet yang akan membawa cabaran negara akan diperolehi Ogos.

“Mesyuarat terakhir jawatankuasa pemilihan akan diadakan awal Ogos depan, MYA sedang meneliti atlet yang akan dipilih daripada pelayar-pelayar terbaik, yang sedang menjalani latihan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, hasil pertemuan bersama pengurusan skuad pelayaran, beliau dimaklumkan mengenai had kuota pegawai yang dibenarkan dinamakan dalam kontinjen pada Sukan SEA nanti.

“Di dalam buku panduan teknikal hanya dibenarkan enam pegawai, tetapi mengikut keperluan sukan ini, jumlah tersebut tidak mencukupi. Saya akan bangkitkan perkara ini semasa mesyuarat CDM yang kedua berlangsung dari 10-13 Julai depan.

“Bagaimanapun dalam masa yang sama Majlis Sukan Negara (MSN) akan tetap memikirkan mekanisma lain, supaya masalah kuota tersebut tidak menggangu persiapan skuad pelayaran negara,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini