Mangsa, Muhammad Adib Mohd. Sukri,15, yang merupakan penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Manakala rakan pemboncengnya, Muhammad Hakim Syazwan Noor Mazni Shah, 15, patah tangan dan kaki.
Kedua-dua mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah Kampung Baru Kerteh dan mereka juga tinggal di Kampung Baru Kerteh.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 3 petang semasa kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari Payoh menuju Ibok manakala motosikal dinaiki mangsa dari arah bertentangan.
Bagaimanapun katanya, setiba di tempat kejadian, motosikal terbabit dikatakan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta berkenaan.
Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Rakannya pula yang membonceng motosikal tersebut patah kaki dan tangan, dia kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, pemandu kereta terbabit tidak cedera dan hasil siasatan mendapati kedua-dua pelajar tersebut tidak memakai topi keledar sewaktu kejadian selain penunggangnya tidak berlesen. – UTUSAN ONLINE











