KEMAMAN – Seorang pelajar Kolej Yayasan Pahang maut selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas merempuh sebatang pokok di Jalan Felda Neram – Bandar Cheneh Baru berhampiran Felda Neram 1 dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, mangsa, Muhammad Syawal Adnan Deraman, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Syawal Adnan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Neram 2 dekat sini dari Kuantan, Pahang.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Viva yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok gelam yang terdapat di tepi jalan.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tersepit di dalam keretanya yang remuk teruk di bahagian hadapan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Haki berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Cheneh Baru dekat sini mengambil masa hampir 15 minit untuk mengeluarkan mayat Muhammad Syawal Adnan yang tersepit di dalam tempat duduk pemandu kenderaan terbabit. – K! ONLINE











