KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat 26 pegawai kanannya yang berkuat kuasa pada 22 Julai ini.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad berkata, Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1, Bukit Aman, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan dilantik menjadi Pengarah Cawangan Khas.
“Ketua Penolong Pengarah (Pengangkutan), Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Mohd. Hishamudin Tahar akan bertukar sebagai Komander Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis.
“Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pula dilantik menjadi Ketua Polis Negeri Sembilan dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Asmawati, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali pula menjadi Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis.
“Sementara itu, Komander Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), JKDNKA Cheras, Selangor, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji pula ditukarkan ke jawatan yang sama di Briged Utara, Ulu Kinta, Perak.
“Turut bertukar adalah Timbalan Komander Briged Utara, PGA JKDNKA Ulu Kinta, Perak, Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim yang akan menggantikan Abdul Ghani,” jelasnya.
Selain itu, senarai penuh pertukaran dan kenaikan pangkat pegawai-pegawai tersebut boleh dilayari menerusi laman Facebook Rasmi PDRM. – K! ONLINE











