KUALA TERENGGANU – Pas mempersoalkan segelintir kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad memilih Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selaku Perdana Menteri, Dr. Mahathir mempunyai hak untuk melantik mana-mana individu memegang jawatan itu.
“Setiausaha Agung Pas sudah buat kenyataan dan itulah kenyataan kita. Terpulang kepada Perdana Menteri untuk pilih siapa yang dia nak, kalau kepemimpinan PH boleh pilih dia (Dr. Mahathir) jadi Perdana Menteri mengapa tak boleh setuju apabila dia pilih Latheefa?
“Pelantikan itu hak Perdana Menteri. Apa yang penting ialah Latheefa perlu membuktikan kemampuannya apabila melaksanakan tugas kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anak Terengganu di Perantauan 2019 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini malam tadi.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isterinya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.
Pas baru-baru ini mengalu-alukan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, Pas yakin Latheefa adalah seorang yang berkelayakan dan berperwatakan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut, lebih-lebih lagi beliau tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti politik.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi memberi jaminan Pas sentiasa terbuka untuk disiasat di bawah kepemimpinan baharu SPRM itu sekiranya terdapat sebarang salah laku dalam parti.
“Pas tak terlibat dengan apa-apa perkara dan sebagaimana saya pernah buat kenyataan dulu yang kerajaan kita di Kelantan dan Terengganu sentiasa terbuka untuk disiasat SPRM. Kita mahukan sebuah kerajaan yang bersih,” katanya. – UTUSAN ONLINE










