Pak Wan mulakan misi rekod kelima - Utusan Malaysia

Pak Wan mulakan misi rekod kelima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood hari ini memulakan kayuhan solonya mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 kilometer bagi mencatatkan rekod peribadinya yang kelima.

Kali ini Wan Hashim yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan akan mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pengayuh basikal tertua yang terpantas mengelilingi Semenanjung Malaysia sekiranya menghabiskan kayuhan dalam tempoh 15 hari.

Sebelum ini, beliau telah mencatatkan pelbagai rekod kayuhan bermula pada tahun 2014, 2016, 2017 dan 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada kayuhan kali ini, beliau turut membawa misi Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) untuk meningkatkan kesedaran orang ramai supaya mendapatkan berita yang benar melalui agensi media yang berkredibiliti.

Ekspedisi solo itu dilepaskan oleh Presiden Kemudi, Azran Fitri Abdul Rahim dalam satu majlis ringkas di hadapan pejabat Utusan Malaysia Biro Kelantan di Jalan Dusun Muda di sini kira-kira pukul 9 pagi ini.

Yang turut hadir, ibunya Hasmah Che Ahmad, 90, dan isteri, Faridah Daud, 68, serta ahli keluarganya.

Sementara itu, Wan Hashim berkata, ekspedisi kali ini amat mencabar kerana dia perlu berkayuh sekurang-kurangnya 130 km setiap hari bagi memastikan sasaran yang ditetapkan tercapai.

“Misi kali ini agak mencabar kerana mengambil masa yang singkat, berbanding misi sebelum ini sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan untuk menamatkan kayuhan.

“Bagi melengkapkan misi kayuhan solo ini, saya terpaksa mengayuh basikal antara 130 hingga 150 km sehari dan mungkin akan berkayuh sehingga malam,” katanya.

Bapa kepada enam anak, 20 cucu dan seorang cicit itu berkata, dia akan memulakan kayuhan menuju  ke Selatan Thailand dan masuk semula ke negara ini melalui Padang Besar, Perlis dan dijangka kembali semula ke Kota Bharu pada 6 Julai ini.

Katanya, dia telah mempersiapkan diri dengan latihan yang secukupnya bagi memastikan keadaan fizikal dan mental sentiasa berada dalam tahap terbaik untuk meneruskan cabaran itu.

“Kayuhan kali ini ditujukan khas kepada Kemudi yang sentiasa memberikan sokongan untuk saya mencipta pelbagai rekod dan membantu meningkatkan kesedaran orang ramai supaya mendapatkan berita yang benar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini