PORT DICKSON – Seorang lelaki meninggal dunia, manakala tiga lagi mangsa dimasukkan ke Hospital Port Dickson (HPD) di sini dipercayai akibat keracunan metanol selepas minum arak.
Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang maut ialah lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun yang dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban dah disahkan meninggal dunia, Isnin lalu.
“Bedah siasat mendapati punca kematiannya tidak dikenal pasti tetapi mangsa disyaki mengalami keracunan metanol.
“Bagaimanapun sampel darah telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, semalam, tiga lagi mangsa dimasukkan ke HPD kerana tidak sedarkan diri dipercayai akibat minum arak.
Katanya, mangsa ialah lelaki dan wanita tempatan masing-masing berusia 33 dan 26 tahun serta lelaki Myanmar berumur 50 tahun.
Katanya, ekoran itu, pihak polis telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati kes-kes tersebut berpunca daripada minum minuman alkohol jenama Miludeer berharga RM7.50.
Katanya, beberapa premis menjual minuman itu di daerah ini telah diperiksa dan polis merampas satu tin minuman jenama itu dari sebuah kedai.
“Pejabat kesihatan Daerah juga telah melaksanakan tindakan pemeriksaan dan turut dimaklumkan merampas minuman jenama berkenaan. Siasatan dan pemantauan serta tindakan lanjut masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











