GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh di sini hidup dalam kebimbangan apabila dua orang penduduknya telah meninggal dunia dipercayai akibat diserang penyakit tibi sejak sebulan lalu.
Selain itu, seramai kira-kira 31 Orang Asli lagi kini sedang menerima rawatan ekoran serangan penyakit yang sama.
Penyakit itu juga difahamkan telah menyebabkan kematian terbaharu melibatkan seorang wanita Orang Asli berusia 22 tahun yang berlaku semalam.
Pesakit yang terdiri daripada kanak-Kanak dan orang dewasa itu telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Aring 1, Klinik Kesihatan Chiku 3, dan Hospital Gua Musang (HGM) bagi menerima rawatan sejak Isnin lalu.
Tiga daripada mereka yang tenat pula terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaan mereka masih stabil.
Seorang penduduk, Mohd. Fazli Mamok, 32, berkata, penduduk di kampung itu telah diserang penyakit berkenaan sejak awal bulan Ramadan lalu dan jumlahnya semakin bertambah.
Katanya, mereka yang diserang penyakit itu dipercayai mengalami simptom batuk dan badan menjadi kurus kering selepas menggunakan air tadahan bukit yang kotor dipercayai kesan pencemaran lombong bijih besi.
“Penduduk sudah lama diserang penyakit itu dan tidak mendapat rawatan awal kerana tiada kenderaan pacuan empat roda.
“Saya sendiri terpaksa menguruskan jenazah penduduk Orang Asli yang meninggal dunia termasuklah dikebumi secara adat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Mamat Pokok, 39, pula berkata, mereka kini hidup dalam kebimbangan apabila penduduk Orang Asli di sini dilihat semakin kerap menghidap penyakit.
“Kami juga tidak mengetahui punca sakit yang menyerang penduduk disebabkan penyakit tibi atau pencemaran bahan kimia daripada air tadahan kami.
“Justeru, kami amat berharap supaya pihak berwajib dapat tampil membantu bagi menyiasat perkara terbabit,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan daripada penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh.
Katanya, penduduk yang mengalami sakit itu sedang dalam pemerhatian dan pihaknya turut membantu dengan menghantar mereka ke hospital. – K! ONLINE











