GUA MUSANG 7 Jun – Penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, di sini hidup dalam kebimbangan apabila dua orang penduduk di situ meninggal dunia dipercayai diserang penyakit tibi sejak sebulan lalu.
Dalam masa sama, kira-kira 31 lagi penduduk masih menerima rawatan akibat penyakit itu.
Mereka terdiri daripada golongan kanak-kanak dan dewasa dirawat di Klinik Kesihatan Aring 1, Klinik Kesihatan Chiku 3 serta Hospital Gua Musang (HGM) sejak Isnin lalu.
Tiga daripada pesakit terbabit dilaporkan tenat dan dirujuk ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk menerima rawatan lanjut dan keadaan mereka kini semakin stabil.
Difahamkan, kematian mangsa terbaharu membabitkan seorang penduduk wanita berusia 22 tahun, semalam.
Seorang penduduk, Mohd. Fazli Mamok, 32, berkata, penyakit itu dikesan sejak awal bulan Ramadan lalu dan keadaan semakin bertambah ramai.
Katanya, mereka yang diserang penyakit itu dipercayai mengalami batuk dan badan menjadi kurus kering selepas menggunakan air tadahan bukit yang kotor dipercayai kesan pencemaran lombong bijih besi.
“Penduduk sudah lama diserang penyakit itu dan tidak mendapat rawatan awal kerana kami tiada kenderaan pacuan empat roda untuk keluar dari kampung.
“Saya sendiri terpaksa menguruskan jenazah penduduk Orang Asli yang meninggal dunia termasuklah mengebumikan mereka secara adat,” katanya.
Mamat Pokok, 39, pula berkata, mereka kini hidup dalam kebimbangan apabila semakin ramai penduduk jatuh sakit.
Katanya, awal Ramadan lalu hanya beberapa penduduk dijangkiti penyakit itu namun seminggu kemudian bilangannya bertambah.
“Kami tidak mengetahui punca sakit yang menyerang penduduk disebabkan penyakit tibi atau pencemaran bahan kimia terhadap air tandak kami.
“Kami berharap pihak berwajib membantu dan datang ke kampung kami untuk menyiasat perkara berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penduduk Orang Asli yang sakit di Kampung Kuala Koh.
Katanya, penduduk yang mengalami sakit itu berada dalam pemerhatian, malah pihaknya turut membantu menghantar mereka ke hospital. – UTUSAN ONLINE











