KUALA LUMPUR- Program advokasi Op Lancar sempena Op Selamat ke 15 Hari Raya Aidilfitri 2019 antara faktor Kontinjen Kedah dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik dalam operasi bermula 29 Mei hingga 12 Jun lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan kepada pengguna jalan raya untuk mengawal sikap ketika memandu selain mematuhi undang-undang ditetapkan.
Menurutnya, selain itu, beliau turut memaksimakan kehadiran polis di jalan kecil serta lebuh raya yang berisiko tinggi serta bekerjasama dengan agensi terlibat.
“Kira-kira 300 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik telah ditempatkan di 11 daerah di Kedah.
“Usaha ini berhasil apabila sebanyak 40 peratus jumlah kematian menurun apabila 18 jumlah kematian dilaporkan berbanding tahun lalu iaitu 30 kes,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Bukit Aman di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan dan Komuniti, Datuk Rosli Ab Rahman.
Dalam majlis itu, Kontinjen Kedah dinobatkan Kontinjen Terbaik Op Selamat 15 diikuti Terengganu dan Kuala Lumpur manakala Ibu pejabat Daerah (IPD) Seremban pula diumumkan sebagai Daerah Terbaik.
Zainuddin berkata, tiada kes pecah rumah dilaporkan berlaku di Kedah sepanjang operasi selama 12 hari itu.
“Bagaimanapun, kemalangan maut meningkat sebanyak 21 kes ataupun dua peratus iaitu 1,249 berbanding 1,228 pada tahun lalu,” katanya.-UTUSAN ONLINE











