KUALA LUMPUR – Selepas gagal meraih menaiki podium dalam penampilan sulung pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, penembak muda negara, Nur Izazi Rosli mengintai peluang meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.
Penuntut prauniversiti Sekolah Sukan Bukit Jalil berusia 19 tahun itu yang meraih kedudukan keempat pada 2017 berharap pengalaman beraksi pada dua kejohanan antarabangsa sebelum ini dapat diterjemahkan dengan kilauan pingat dalam acara 10m air rifle wanita di Filipina nanti.
“Pada Sukan SEA 2017, saya mendapat tempat keempat dalam acara sama dan berharap dapat meraih kedudukan lebih baik kerana jarak mata saya dengan pemenang pingat gangsa tidak banyak beza,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Izazi mengakui kurang berpuas hati dengan catatan mata dilakarnya pada dua kejohanan berkenaan dan berharap dapat memperbaiki catatan mata menerusi latihan intensif di Lapang Sasar Majlis Sukan Negara di bawah kendalian ketua jurulatih kebangsaan, Park Sang Soon dari Korea Selatan.
Beliau mengutip 616.3 mata di Kejohanan Airgun Asia ke-12 pada April lalu di Taiwan, dan memperoleh 618.1 mata pada pusingan ketiga Piala Dunia di Munich, Jerman, bulan lalu.
Kedua-dua catatan berkenaan masih jauh daripada rekod peribadinya, 623.3 mata yang dilakar dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.
“Saya melihat ada peningkatan daripada segi jumlah mata, cuma ketua jurulatih cakap saya kena perbaiki catatan 618.1 mata itu sekiranya ingin bersaing dengan penembak terbaik dunia.
“Saya tengok persediaan mereka amat rapi dan padat, jadi banyak yang saya boleh belajar daripada mereka untuk memperbaiki catatan mata saya pada kejohanan akan datang,” kata Nur Izazi.
Dia bakal menyertai edisi ke-43 Kejohanan Menembak Asia Tenggara di Jakarta, Ogos ini namun tidak meletakkan sebarang sasaran khusus.
Anak jati Kuala Lumpur itu mula diserapkan ke dalam skuad remaja kebangsaan pada 2015 selepas menunjukkan potensi memberangsangkan ketika mewakili kejohanan peringkat negeri dan Sukma. – BERNAMA











