KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan seorang warga emas semenjak seminggu lalu telah terjawab apabila pihak polis menjumpai mayat beliau di kediamannya di Seksyen 4, Wangsa Maju, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Muhammad Najib Hamzah berkata, pihak polis menjumpai mayat wanita berusia 90 tahun terbabit dalam keadaan terbaring di atas lantai ruang tamu rumahnya.
“Setibanya pihak berkuasa di tempat kejadian, polis terpaksa memecahkan pintu rumah mangsa yang berkunci dan tidak berpenghuni.
“Menurut jiran-jiran, kali terakhir warga emas itu dilihat oleh mereka ialah lebih kurang seminggu lalu,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Tambah Muhammad Najib, mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – K! ONLINE











