KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan dakwaan kononnya mereka telah meluluskan permohonan bagi penubuhan satu liga amatur di Pulau Pinang tanpa berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata pentadbir Liga Malaysia itu tidak pernah membelakangi FAP yang merupakan salah satu rakan kongsi mereka, terutamanya melibatkan isu berkenaan.
“Bagi MFL, itu (bernaung di bawah FAP) adalah satu prosedur dan kemungkinan segelintir pihak menimbulkan kekeliruan bahawa ada liga (amatur) yang telah diluluskan oleh MFL di Pulau Pinang tetapi saya boleh mengatakan dengan jelas bahawa ia tidak benar.
“MFL tidak pernah meluluskan mana-mana liga (amatur) di sini tanpa berbincang dengan rakan kongsi kita, FAP,” jelas Kevin dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.
Terdahulu, Kevin mengadakan perjumpaan dengan pengurusan FAP yang turut dihadiri Timbalan Presidennya, Datuk Abdul Rashid Ismail dan Pengurus Besar Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Hairul Azlee Mansor di Georgetown, Pulau Pinang, hari ini. – BERNAMA











