Menteri Britain didesak letak jawatan kerana kasari wanita - Utusan Malaysia

Menteri Britain didesak letak jawatan kerana kasari wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Seorang menteri daripada Parti Konservatif didesak meletak jawatan selepas beliau dirakam mencengkam leher seorang aktivis wanita kelmarin, lapor akhbar The Sun semalam.

Satu rakaman video menunjukkan Menteri di Pejabat Luar Negara, Mark Field menggunakan kekasaran untuk mengusir seorang aktivis alam sekitar Greenpeace dari Mansion House, tengah London.

Mansion House merupakan kediaman rasmi Lord Mayor London.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suasana kecoh itu berlaku selepas kira-kira 40 penunjuk perasaan Greenpeace memakai dres berwarna merah menyerbu majlis bankuet tahunan untuk pegawai bank dan ahli politik di Mansion House di mana Canselor Kewangan, Philip Hammond menyampaikan ucaptama.

Field, 54, yang merupakan wakil rakyat London dan Westminster, bingkas bangun apabila aktivis wanita itu berjalan melintasi kerusinya.

Beliau kemudian menolak wanita itu ke sebuah tiang, mencekak belakang leher dan memaksanya keluar dari bilik tersebut. Rakaman video insiden itu diperoleh saluran berita tempatan, ITV News.

“Tiada pegawai keselamatan hadir ketika itu dan saya bimbang wanita ini mungkin bersenjata,” kata Field yang mempertahankan tindakan tersebut.

“Saya mencekak penceroboh itu untuk mengusirnya dari kamar makan seberapa segera yang boleh,” tambahnya.

Mengulas insiden tersebut, Polis London mengesahkan pihaknya menerima aduan mengenainya dan masih melakukan siasatan, namun belum ada tangkapan dilakukan.

Sementara itu, wakil-wakil rakyat daripada Parti Buruh dan Parti Liberal Demokratik mendesak kerajaan supaya menggantung tugas atau memecat Field susulan kejadian itu. 
– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini