Meninggal dunia ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat - Utusan Malaysia

Meninggal dunia ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Timbalan Pengerusi Masjid Al-Bukhary di sini meninggal dunia dalam keadaan penuh kemuliaan ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat di masjid berkenaan hari ini.

Mangsa, Ku Yaacob Ku Hashim,68, difahamkan rebah di atas mimbar di masjid tersebut ketika menyampaikan khutbah sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia tengah hari ini.

Eksekutif Kanan Masjid Al Bukhary, Abdul Rahman Yaacob,42, berkata, selepas menyebut beberapa baris ayat semasa membaca khutbah, Allahyarham secara tiba-tiba rebah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, Ku Yaakob kemudiannya dibantu oleh jemaah masjid yang merupakan seorang doktor sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Ujarnya, arwah juga pernah mengadu sakit dada dan turut mempunyai penyakit kencing manis.

“Saya mengenali Allahyarham sejak empat tahun lalu sejak arwah memegang jawatan timbalan pengerusi masjid ini..Dia (Allahyarham) seorang yang sangat komited melaksanakan tugas.

“Malah apabila berdamping dengan arwah, hati akan rasa tenang dengan tutur katanya yang lemah lembut dan tersusun. Arwah seorang yang berbudi pekerti dan pemergiannya di hari yang mulia ini cukup dirasai,” katanya.

Tambahnya, arwah merupakan seorang bekas guru agama di sebuah sekolah dan pernah memegang jawatan Pengerusi Surau Taman Mutiara di tempat tinggalnya.

“Sebelum hari raya, saya bersama arwah ada berbincang mengenai latihan protokol sebelum membaca khutbah apabila Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin akan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

“Arwah tekun mempelajari protokol itu dan tidak menolak untuk melakukannya. Semasa membuat latihan arwah tidak menunjukkan sebarang tanda pelik, arwah sentiasa nampak tenang,”katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini