IPOH – Sebanyak 1,200 tan sampah dikutip oleh petugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semasa bertugas sepanjang dua hari cuti Aidilfitri baru-baru ini.
Jumlah sampah dibersihkan ini termasuk kutipan sampah di kawasan kediaman, pasar, longgokan sampah haram dan di sekitar pusat bandar.
MBI dalam satu kenyataan memberitahu, kerja-kerja pembersihan bagi kutipan sampah di kawasan kediaman dan pasar ini melibatkan seramai 67 orang petugas bersama 17 buah lori.
Seramai 64 orang petugas bersama dua lori sampah pula ditugaskan bagi mengutip sampah haram dan di sekitar pusat bandar.
Menurut kenyataan tersebut, kira-kira 600 tan sampah dikutip setiap hari pada kedua-dua cuti perayaan itu berbanding 500 tan pada hari biasa.
“Kutipan sampah yang meningkat ini khususnya daripada kawasan kediaman merupakan jumlah biasa pada musim perayaan seperti Aidilfitri.
“Walaupun hari cuti, namun jadual bagi kerja-kerja pembersihan termasuk di kawasan bandar tetap dilakukan seperti biasa,” ujar kenyataan tersebut. – UTUSAN ONLINE











