KUALA LUMPUR – Bahagian kargo Malaysia Airlines Bhd., MAB Kargo Sdn. Bhd. (MASkargo) bersedia untuk meneroka pasaran halal global berikutan keupayaan pengendalian penghantaran telah menerima pensijilan halal Malaysia.
Pensijilan itu dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ibrahim Mohamed Salleh berkata, pasaran halal global kini bernilai hampir AS$2 trilion (RM8.34 trilion) setahun dan MASKargo kini merupakan sebahagian daripada rantaian logistik halal yang bersedia dan mempunyai keupayaan untuk meneroka pasaran tersebut.
“Bersama Jakim, semua proses dikaji semula dan dipinda untuk memenuhi keperluan ketat dalam mengekalkan integriti halal, selain menambah kemudahan tambahan untuk memenuhi keperluan mengekalkan pengasingan dan pemisahan antara penghantaran halal dan bukan halal.
“Kami berkemungkinan besar menjadi Pengendali Terminal Kargo pertama di dunia diklasifikasikan sebagai pengendali kargo halal daripada Pengawal Selia Hal Ehwal Islam yang terkemuka dan diiktiraf di peringkat global untuk produk Halal,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Susulan pensijilan tersebut, MASkargo telah menghantar makanan beku sebanyak 720 kilogram ke Jepun di bawah perkhidmatan Logistik Halalnya melalui penerbangan MH 088 yang berlepas dari Kuala Lumpur pada 11.30 malam pada 24 Jun lepas dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 7.40 pagi keesokan harinya.
Penghantaran itu ditempah oleh Nippon Express (Malaysia) Sdn. Bhd.











