SEPANG – Kegagalan Malaysian Tigress melayakkan diri ke final Siri FIH Akhir di Ireland minggu lalu belum menutup harapan mereka untuk memburu tiket Sukan Olimpik 2020.
Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sebaliknya menegaskan, peluang Malaysia untuk bersaing pada pusingan kelayakan akhir bergantung kepada ranking yang bakal dikeluarkan badan hoki dunia, FIH dalam masa terdekat.
Kata Muhammad Dhaarma, sekiranya Malaysian Tigress berjaya mengalami kenaikan dua anak tangga dari tempat ke-22 ke kedudukan 20 dunia, maka peluang mereka untuk bersaing dalam kelayakan akhir temasya Tokyo adalah cerah.
“Saya telah dimaklumkan oleh Majlis Sukan Negara bahawa program latihan bagi skuad negara akan diteruskan kerana kita berpotensi bermain dalam kempen kelayakan.
“Bagi kami ia satu berita gembira apabila mengetahui program latihan tetap diteruskan kerana pada tahun ini kami hanya fokus untuk memburu slot ke Sukan Olimpik menerusi aksi kelayakan selepas hoki padang tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA 2019.
“Dalam masa sama saya juga amat yakin kita mampu naik ranking terutama selepas berjaya meraih tempat ketiga di Ireland,” kata Dhaarma.
Malaysian Tigress menutup kempen Siri Akhir FIH di tempat ketiga selepas menewaskan Republik Czech 3-0 dalam penentuan tempat ketiga, kelmarin.
Difahamkan keputusan rasmi ranking FIH akan diketahui pada Ogos ini iaitu sebelum kempen pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 pada Oktober atau November ini.











