Malaysia kekalkan pendirian dasar walau kerajaan berubah – Mahathir - Utusan Malaysia

Malaysia kekalkan pendirian dasar walau kerajaan berubah – Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Malaysia mengekalkan dasar perdagangan dan ekonominya selain mesra dengan negara lain, walaupun berlaku perubahan kerajaan selepas 61 tahun, kata Perdana Menetri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya, Kerajaan baharu menyambut baik pelabur asing termasuk dari jiran terdekatnya, Thailand dan berusaha menyelaraskan peraturan, kawal aturan serta undang-undang bagi memudahkan lebih banyak pelaburan masuk.

“Kami mesra perniagaan. Oleh itu jika orang datang untuk melabur di Malaysia, kerajaan akan cuba membantu sebaik mungkin. Kami menyelaraskan semua peraturan, kawal aturan bagi memudahkan pelaburan dari negara asing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami berharap lebih banyak syarikat Thailand melabur di Malaysia dan kami juga mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia melabur di Thailand.

“Ini akan menyediakan pertumbuhan yang baik untuk kedua-dua Malaysia dan Thailand. Kami beharap semua usaha ini akan memudahkan perdagangan dua hala,” katanya dalam ucaptama pada sesi dialog bersama tokoh korporat Thailand di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darrell Leiking dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.

Mengetuai pelabur Thailand ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Bersama bagi Perdagangan, Industri dan Perbankan Thailand, Kalin Sarasin.

Sementara itu, Mahathir berkata, ASEAN yang didiami 600 juta penduduk merupakan pasaran besar untuk perdagangan dan semua negara anggota wajar meneroka potensi ini dan memperkaya penduduk.

“Mungkin pendapatan perkapita rendah, keperluan untuk golongan miskin sangat besar. Namun menerusi perdagangan dan perniagaan yang berkembang, ia akan memperkaya rakyat dan kita akan memperoleh pasaran yang baik sesama kita,” katanya.

Merujuk Thailand sebagai jiran paling rapat, Mahathir mengalu-alukan syarikat dan pelabur Thailand menjalankan perniagaan di Malaysia berdasarkan komunikasi yang mudah selain mudah untuk mengenali sesama sendiri.

“Bila kita menjalankan perniagaan, kita mahu berniaga dengan orang yang kita kenal. Jika orang yang tidak dikenali, kita tidak pasti apa yang akan berlaku.

“Ada peluang untuk Malaysia dan Thailand belajar sesama sendiri dan mesyuarat seperti itu sangat penting,” katanya. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini