Makna Aidilfitri 2019 buat Ropie, Ebby, Issey - Utusan Malaysia

Makna Aidilfitri 2019 buat Ropie, Ebby, Issey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah memasuki 10 Syawal, namun bicara tiga lelaki popular dalam dunia komedi, Ebby Yus, Issey Fazlisham dan Ropie masih berkisar tentang sambutan hari raya. Bagi mereka, Syawal tahun ini ada kisah dan pengertian berbeza.

SHAH ALAM, 15 Mei 2019–Ebby Yus pada rakaman JKK Raya di Plaza Alam Sentral, Shah Alam.GAMBAR/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN/WARTAWAN/AIDA (HITS)/ARINA (HIBURAN KOSMO!)

Bagi pelawak senior, Ebby Yus, 55, sambutan Aidilfitri 1440 Hijrah menjadi momen yang paling disyukuri selepas jatuh sakit pada awal tahun ini akibat kegagalan buah pinggang tahap tiga dan kebocoran injap jantung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata pemilik nama sebenar Mohd. Yunus Abd. Rashid itu, Ramadan tahun ini juga memberi memori manis apabila dia diberi kekuatan luar biasa untuk berpuasa penuh berbanding tahun-tahun terdahulu akibat masalah kesihatan.

Seperti tidak percaya dengan kemampuan dirinya itu, Ebby berkata mungkin ada hikmah dia jatuh sakit kerana memberi kesedaran kepadanya dalam banyak aspek terutama dalam bab penjagaan kesihatan.

“Sebenarnya, saya sakit sudah lama tetapi saya seorang yang tidak begitu cakna terhadap penjagaan diri. Ada masanya saya terlalu sibuk berlakon hingga lupa makan ubat.

“Apabila keadaan semakin serius barulah saya mula beringat. Alhamdulillah, tahun ini saya mampu berpuasa penuh. Jika tidak, puasa saya akan lompong kerana perlu makan ubat gastrik,” jelasnya.

Tambah aktor kelahiran Negeri Sembilan itu, dia juga memecahkan tradisi karier apabila bekerja pada bulan puasa kali ini kerana sudah berehat lama sewaktu ditimpa sakit awal Januari lalu.

Terakhir

Buat penyampai radio dan selebriti, Issey Fazlisham, 32, pula, besar harapannya bahawa 2019 akan menjadi tahun terakhir dia beraya dengan status duda sekali gus mempunyai teman untuk sambutan akan datang.

Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Husin yang sudah hampir tiga tahun menduda mengakui, kini dalam proses mengenali hati budi seseorang namun masih terlalu awal untuk mendedahkan identiti wanita tersebut.

Biarpun ibu bapa dan keluarga tidak pernah mendesak agar dia kembali beristeri tetapi Issey sendiri memikirkan sudah tiba masanya untuk dia berumah tangga dan membina keluarga.

“Saya akui saya cemburu melihat kawan-kawan yang sudah memiliki anak walaupun usia mereka lebih muda daripada saya. Jadi besar doa saya agar Allah permudahkan urusan jodoh saya dan tahun ini adalah tahun terakhir saya beraya solo.

“Apabila saya sudah yakin hubungan kali ini akan ke peringkat seterusnya. Insya-Allah saya akan kenalkan si dia kepada semua. Jangan risau, saya tidak akan sorok perkara baik,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, pelawak yang dicungkil bakat daripada program realiti Bintang Mencari Bintang itu memberitahu, antara pengajaran yang diambil daripada perkahwinan terdahulu adalah tidak mencari jodoh di media sosial.

Beringat

Sementara itu, rasa syukur turut melimpah dalam hati pelawak, Ropie yang tidak menyangka selepas sekian lama, namanya kembali meniti di bibir peminat. Semua impak positif tersebut dibiakkan watak lakonannya sebagai Nayan dalam filem Hantu Kak Limah tahun lalu yang menjadi sebutan ramai.

Ropie atau nama sebenarnya Zahid Tajuddin, 52, sangat berterima kasih kepada Mamat Khalid kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk turut menjayakan filem pecah panggung tahun 2018 tersebut.

Tempias kecemerlangan karakter Nayan, Ropie yang pernah menganggotai kumpulan Senario dan Cecupak itu tidak menang tangan menerima tawaran sehingga ada yang perlu ditolak dengan baik.

“Apabila banyak sangat tawaran datang, saya takut sebenarnya. Saya bimbang tidak mampu memberikan yang terbaik.

“Oleh sebab itu, ada tawaran yang saya rasa belum boleh terima seperti menjadi penyampai radio, saya tolak dengan baik. Saya tidak mahu tamak, itu sahaja,” tuturnya menyusun kata.

Beraya berdua dengan isteri, Syreen di ibu kota, tahun ini Ropie mengambil giliran meraikan Syawal bersama dua anaknya yang selama ini berada bawah jagaan bekas isteri.

“Saya hanya mampu mengucapkan syukur atas nikmat yang sudah lama saya tidak rasa ini,” luahnya penuh kesyukuran.

Syawal tahun ini membawa seribu satu pengertian buat tiga pelawak tanah air iaitu Ropie, Ebby Yus dan Issey Fazlisham.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini