KUANTAN – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam nampaknya semakin terdesak sehingga sanggup membawa dan menyebarkan naratif yang kurang tepat dan berniat mengelirukan ahli-ahli UMNO.
Exco Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata, terbaharu Lokman mendedahkan apa yang kononnya dikatakan sebagai klausa cadangan Pindaan Perlembagaan parti yang dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi untuk makluman awal di laman media sosialnya.
“Apakah klausa cadangan ini akan memecah belahkan parti? Sekiranya UMNO berantakan kelak, ia disebabkan oleh kegelojohan Lokman sendiri yang bertindak menafsir klausa ini dengan kurang tepat dan berniat untuk memecah belahkan parti. Inilah sikap Si Kitul yang UMNO harus berwaspada.
“Saya berpendapat setiap perkataan yang dipilih bagi klausa cadangan ini menepati prinsip ‘seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh undang-undang di mahkamah’. Ini bermakna, sekiranya seorang pemimpin parti yang dituduh dan masih belum dibuktikan bersalah, tiada apa yang harus digusarkan. Mengapakah Lokman seperti ‘kera kena belacan’?,” soalnya dalam kenyataan kepada Utusan Online di sini hari ini.
Muhammad Faiz berkata, selalunya individu yang benar-benar bersalah akan beriya-iya bertindak sebegini walaupun mahkamah belum membuat apa-apa pun keputusan.
“Justeru, saya menyeru semua ahli-ahli UMNO untuk tidak percaya dengan langkah terdesak Lokman ini. Sesungguhnya beliau telah melanggar sumpah menyimpan rahsia selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti dengan kadar segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE











