Liverpool cuba bawa balik Coutinho? - Utusan Malaysia

Liverpool cuba bawa balik Coutinho?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Liverpool mengorak langkah sensasi apabila memasuki persaingan mendapatkan semula bekas pemainnya, Philippe Coutinho daripada Barcelona.

Bintang tengah Brazil itu meninggalkan Anfield pada Januari tahun lalu tetapi gagal mencipta impak sejak tiba di Camp Nou.

Sejak beberapa minggu lalu, dia dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United, Chelsea serta Paris Saint-Germain (PSG) yang kesemua telah menyuarakan minat terhadap pemain itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun portal sukan, Le10 Sport mendakwa Reds turut berminat mendapatkan semula khidmat pemain berusia 27 tahun tersebut.

Biarpun mengharungi musim cemerlang dengan menjulang Liga Juara-Juara dan muncul naib juara Liga Perdana Inggeris, Jurgen Klopp mahu menguatkan pasukannya.

Liverpool mula menunjukkan minat selepas Coutinho mengesahkan dia mahu meninggalkan Barcelona.

“Saya tidak tahu sama ada saya akan terus berada di Barcelona.

“Tiada siapa tahu tentang masa depan tetapi buat masa sekarang saya mahu fokus dengan aksi bersama skuad kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas beraksi dalam perlawanan Copa America beberapa hari lalu.

Coutinho menjaringkan 32 gol daripada 76 perlawanan, namun gagal memikat hati penyokong Barcelona manakala kedudukannya bersama skuad bimbingan Ernesto Valverde juga tidak menentu.

Dia dikaitkan dengan juara Perancis, PSG selepas Barcelona cuba membawa pulang Neymar ke Camp Nou.

Coutinho bagaimanapun berkata, dia lebih berminat untuk beraksi di England dan Chelsea mungkin menjadi pilihan kerana dia menolak menyertai United yang mempunyai sejarah permusuhan dengan Liverpool.

Bagaimanapun menurut laporan tersebut, jika Reds serius mahu membawa pulang Coutinho, mereka akan menjadikan situasi pemain itu lebih mudah.

Bekas pemain Liverpool, Neil Mellor sebelum ini mendakwa, Coutinho menyesal meninggalkan Reds, apatah lagi selepas mereka dinobat sebagai juara Eropah buat kali keenam.

“Persoalan itu (penyesalan) harus diajukan kepadanya.

“Tetapi saya percaya, dia pasti tumpang gembira buat rakan-rakan senegaranya dari Brazil, Fabinho, Alisson dan Roberto Firmino,” kata Mellor. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini