IPOH – Lelaki yang mengumpil tabung masjid yang perbuatannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dalam kejadian di Masjid Ghufran di Kampung Manjoi dekat sini kelmarin, akhirnya diberkas polis semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di hadapan sebuah restoran di Jalan Labrooy pada pukul 1.30 petang.
Katanya, suspek yang dikesan mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah itu dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk tindakan lanjut.
“Tangkapan terhadap suspek itu susulan laporan polis yang dibuat timbalan pengerusi masjid berkenaan setelah menerima video perbuatan lelaki itu yang dirakam CCTV menerusi aplikasi Whatsaap.
“Rakaman tersebut menunjukkan seorang lelaki dilihat mengumpil tabung masjid berkenaan sebelum melarikan diri dengan wang tabung yang berjaya dicuri,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Ali, satu daripada tabung yang diumpil suspek diletakkan oleh Bahagian Amal Kebajikan Islam Perak (BAKIP) manakala satu tabung lagi ditempatkan di ruang solat muslimah.-UTUSAN ONLINE











