Lelaki kurang siuman ditahan cuba pecah mesin ATM - Utusan Malaysia

Lelaki kurang siuman ditahan cuba pecah mesin ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU – Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditahan polis selepas cuba memecah sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Perbandaran, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Nor Azizulkifli Mansor berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 8.20 pagi selepas mendapat maklumat orang awam mengenai kehadiran suspek yang mencurigakan di ruang lobi bank berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek masuk ke lobi bank yang menempatkan mesin ATM pada pukul 8.10 pagi dan cuba membuka pintu hadapan penutup mesin ATM namun gagal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek kemudian keluar mengambil sebatang kayu yang digunakan untuk menghadang pintu masuk ruang lobi ekoran ketika cubaannya memecah mesin itu terdapat orang awam yang mahu masuk ke bank tetapi dihalau,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, katanya, suspek dipercayai cuba membuka pintu hadapan penutup mesin ATM menggunakan dawai pin kertas yang diambil dari tong sampah tetapi tidak berjaya.

“Suspek kemudian bertindak menarik pintu luar mesin ATM menggunakan tangan sehingga terbuka, namum pintu peti besi simpanan wang masih dalam keadaan sempurna,” katanya.

Nor Azizulkifli berkata, ketika kejadian, tiada pengawal keselamatan bertugas dan penggera keselamatan turut tidak berbunyi.

Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai kurang siuman serta berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

“Berdasarkan kenyataan beberapa saksi awam, suspek sering berkeliaran di kawasan bank dan bandar Tawau sejak beberapa bulan lepas,” katanya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini