Lebih banyak kejayaan menanti - Utusan Malaysia

Lebih banyak kejayaan menanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID – Liverpool akhirnya berjaya menamatkan kemarau kejayaan mereka dalam masa tujuh tahun apabila menjuarai trofi Liga Juara-Juara (UCL) dengan menewaskan seteru Liga Perdana England (EPL), Tottenham Hotspur 2-0 pada aksi di Stadium Metropolitano, Madrid awal pagi semalam.

Ini juga merupakan kejayaan pertama buat pengurusnya, Jurgen Klopp dan juga gelaran keenam UCL dalam tujuh perlawanan final bagi Liverpool sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 2005.

Kejayaan membawa pulang semula trofi UCL ke Anfield semalam turut menyuntik keyakinan Klopp bahawa ia adalah satu permulaan buat The Reds untuk mencapai lebih banyak trofi selepas ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tiga minggu lalu mereka terlepas gelaran EPL kepada Manchester City dengan perbezaan satu mata namun kemenangan dalam final UCL ini pastinya berjaya menebus semula kekecewaan tersebut.

“Selepas kemenangan ini, saya terima ucapan tahniah daripada pengurus City, Pep Guardiola menerusi telefon. Kami telah berjanji bahawa kami akan cuba bersaing sengit sekali lagi pada musim depan.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk melakukannya dan kita lihat saja nanti sama ada kami mampu atau tidak,” jelas Klopp.

Liverpool gagal memenangi sebarang kejuaraan sejak kali terakhir menewaskan Cardiff City menerusi penalti pada final Piala Liga 2012. Mereka juga tewas pada final Liga Europa pada tahun 2016 dan juga final UCL kepada Real Madrid tahun lepas.

“Kami kini telah memenangi sesuatu dan pastinya akan meneruskan pencapai­an ini. Saya percaya semua pemain mahu memenangi lebih banyak trofi lagi.

“Ini hanyalah permulaan bagi kami dan kami memiliki sebuah pasukan yang menakjubkan. Semua pemain pasukan ini mempunyai masa depan yang cerah dalam karier mereka,” ujarnya lagi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini