TAHUN 2019 barangkali tahun paling istimewa buat pasangan selebriti, Fizi Ali dan Shakilla Khoriri.
Selain genap setahun meladeni rutin harian sebagai suami isteri, kehidupan bahagia Fizi dan Shakilla turut diserikan dengan kehadiran cahaya mata sulung pada 18 Februari lalu yang diberi nama Ameena Sofia.
Biarpun Ramadan singgah ketika usia Ameena baru mencecah tiga bulan, namun baik Fizi mahupun Shakilla, mereka tidak menghadapi sebarang masalah mengelolakan sang puteri kesayangan.
Shakilla, 30, memberitahu, aktiviti hariannya bermula pada siang hari, hanya selepas Fizi memulakan tugas sebagai penyampai di stesen radio Suria FM menerusi segmen Team Pagi Suria.
“Sejujurnya, rutin saya pada bulan Ramadan tidak banyak beza dengan rutin harian sebelum ini. Maklumlah, Ameena masih kecil. Jadi, ketika bangun sahur, dia masih tidur.
“Jadi, saya hanya perlu siapkan keperluan Fizi sebelum dia keluar bekerja,” katanya.
Menurut Shakilla, tiada makanan disediakan pada waktu sahur memandangkan dia dan suami sedang dalam proses menurunkan berat badan.
“Kebiasaannya, saya memang tidak makan ketika sahur. Fizi juga lebih gemarkan makanan ringan seperti roti. Justeru, proses sahur menjadi lebih mudah dan ringkas.
“Selepas Fizi ke pejabat, baru saya mulakan rutin mengemas rumah dan menjaga Ameena,” ujar Shakilla.
Ditanya mengenai persiapan berbuka pula, Fizi yang selalunya mengambil tugas memasak kerana kasihan melihat Shakilla kepenatan sepanjang berada di rumah.
“Bagi juadah berbuka, selalunya saya yang akan ambil tanggungjawab untuk memasak.
“Maklumlah, Shakilla sudah penat menjaga anak, jadi biarlah saya ambil tugasan menyediakan makanan.
“Tambahan pula, kami berdua sedang menjaga diet pemakanan. Jadi, seleksi lauk-pauk berbuka senang untuk disediakan,” kata Fizi yang memilih untuk memanggang kebanyakan lauk, termasuk sayur-sayuran.
Persediaan
Berkenaan dengan persediaan raya, Shakilla mengakui tidak terlalu teliti dalam membuat pilihan. Pelakon drama Selamat Malam Tan Sri sekadar memilih apa yang praktikal dan keselesaan mereka sekeluarga.
“Sebenarnya, saya tidak kisah sangat tentang persediaan raya. Saya selalu membeli persiapan pada saat akhir.
“Cuma ketika membeli baju, saya sering memilih rekaan yang belum ada dalam almari. Selain itu, kami sederhana sahaja,” katanya.
Bercakap mengenai sambutan raya pula, Fizi dan Shakilla bercadang untuk bercuti selama beberapa hari selepas pulang ke kampungnya di Johor.
“Tahun ini giliran kami pulang ke kampung saya di Johor. Jadi, alang-alang pulang ke sana, kami rasa tempoh tersebut sesuai untuk berjalan dan makan angin.
“Saya juga bercadang mahu berehat memandangkan sudah lama tidak bercuti,” kata Fizi yang kemudiannya bercadang untuk ke Port Dickson selepas selesai bercuti di Johor.
Beralih soal perancangan selepas raya, Shakilla memberitahu, dia ada menerima tawaran untuk kembali berlakon. Cuma, dia masih belum bersedia memandangkan Ameena masih memerlukan perhatian di rumah.
“Selain perlu menurunkan berat badan, saya risaukan keadaan Ameena yang masih kecil. Justeru, ada tawaran yang terpaksa ditolak setakat ini.
“Insya-Allah, jika sudah benar-benar bersedia, saya pasti akan kembali berlakon,” katanya lagi.
Melihat pada telatah Fizi dan Shakilla, pasti ramai tersenyum melihat rakaman video-video lucu yang dimuat naik ke dalam Instagram masing-masing.
Kebanyakan pengikut mereka suka dengan keterbukaan dan nilai persefahaman yang diamalkan.
Sungguhpun Fizi dan Shakilla selesa berinteraksi sedemikian, namun tetap ada segelintir pengikut yang tidak bersetuju dengan gaya interaksi yang ditunjukkan.
“Saya pernah menerima kritikan daripada netizen selepas rakaman gurauan baling lampin pakai buang yang bernajis ke muka Fizi dimuat naik ke akaun Instagramnya.
“Namun, perkara tersebut gurauan semata-mata. Kami berdua sudah sedia maklum dengan maklum balas orang ramai. Lagi pun itu bukan najis sebenar, sebaliknya kami menggunakan sos biji sawi sebagai ganti.
“Mungkin ramai mempertikaikan cara kami, tetapi, Fizi dibayar untuk mempromosikan produk berkenaan. Jadi, kalau boleh, kami tidak mahu hasilkan video yang bosan,” terang Shakilla.
Menurut Fizi pula, dia agak spontan apabila berinteraksi dengan isterinya mungkin disebabkan hubungan mereka yang bermula sebagai rakan baik.
“Bagaimanapun, saya tetap berbincang dengannya terlebih dahulu sebelum memuat naik sebarang video promosi berbayar,” katanya lagi.
Pertama kali beraya dengan cahaya mata, Fizi Ali dan isterinya, Shakilla Khoriri memilih untuk tidak berbelanja berlebihan.











