IPOH – Penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam tidak boleh dianggap gagal walaupun sehingga kini belum ada perokok dikenakan saman seterusnya didakwa di mahkamah.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, ini kerana langkah penguatkuasaan yang diambil bertujuan mendidik perokok agar menghormati undang-undang sebagai langkah positif ke arah meningkatkan tahap kesihatan.
Menurutnya, pendekatan mendidik sedemikian akan diteruskan sehingga penghujung tahun nanti sebelum disusuli langkah berikutnya.
“Bermula 1 Januari tahun depan barulah kita melaksanakan hukuman saman kepada mereka yang merokok di tempat awam termasuk di tempat makan.
“Pelaksanaan zon larangan merokok juga akan diperluaskan lagi pada masa itu termasuk di tempat makan terbuka dan lain-lain lokasi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui ketika hadir pada Jamuan Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di Kampung Changkat Larang di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Mengulas lanjut, Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng berpandangan bahawa lebih banyak masa diperlukan untuk mengubah sikap golongan perokok ini walaupun masih ramai yang ingkar larangan tersebut.
Ini kerana katanya, pendekatan mendidik ketika ini dilihat mula memberi kesan positif apabila ramai golongan perokok kini menghormati larangan untuk tidak merokok di tempat terbuka.
“Penguatkuasaan ini juga bukan mahu memaksa golongan perokok berhenti merokok sebaliknya kita mahu mereka ubah sikap tidak merokok di tempat awam,” ujarnya.
Penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE











