KUALA LUMPUR – Prestasi luar biasa dipamerkan oleh jaguh pecut Indonesia, Lalu Muhammad Zohri telah menarik perhatian ramai pihak, malah risikan terhadap perkembangan juara Kejohanan Remaja Dunia 2018 itu telahpun dijalankan oleh Institut Sukan Negara (ISN) menjelang Sukan SEA 2019 di Manila, November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, pakar-pakar mereka telah menjalankan kajian dan mendapatkan maklumat berhubung prestasi Lalu untuk diguna pakai membantu mempersiapkan jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan sewaktu Sukan SEA 2019.
“Saya percaya pertembungan antara Khairul Hafiz dan Lalu dalam Sukan SEA nanti akan menjadi pertemuan penuh epik dalam acara 100m. Kita juga sedia maklum tentang prestasi konsisten dipamerkan oleh Lalu dan beberapa catatan masa dilakukan atlet berkenaan telah menjadikan dia terpantas di rantau Asia Tenggara ketika ini.
“Di ISN, kami akan memainkan peranan sepenuhnya untuk membantu Khairul Hafiz agar berupaya memberikan cabaran kepada Lalu sewaktu kempen Sukan SEA 2019 di Manila,” katanya.
Lalu mula mencetus sensasi pada tahun lalu apabila muncul sebagai pemenang pingat emas Kejohanan Remaja Dunia di Finland dengan catatan 10.18 saat (s) yang menyamai catatan peribadi terbaik Khairul Hafiz Jantan.
Prestasi Lalu terus menjadi perhatian, tahun ini apabila muncul pelari kedua terpantas Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar dengan catatan 10.13s.
Lalu terus menjadi fenomena apabila melakukan 10.03s sewaktu meraih tempat ketiga dalam kejohanan Grand Prix Seiko di Jepun, 19 Mei lepas yang melayakkannya beraksi pada Sukan Olimpik 2020. – UTUSAN ONLINE











