KUALA LUMPUR – Hasrat Khairy Jamaluddin untuk membuat kepulangan semula dalam sukan mungkin berdepan halangan besar selepas pencalonannya sebagai Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) masih dipertimbangkan gara-gara lewat menghantar borang.
MPM menerima dua pencalonan yang dihantar sehari selepas tarikh tutup iaitu 14 Jun, pukul 11.59 malam, dan salah satu daripada borang berkenaan milik bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut.
Khairy sebelum ini disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin yang terlebih dulu menawar diri mengisi jawatan itu.
“Dalam borang jelas menunjukkan borang pencalonan perlu diserah ke pejabat MPM sebelum 15 Jun iaitu selewat-lewatnya pada pukul 11.59 malam pada 14 Jun.
“Selepas disemak, Khairy dan John Ng (Timbalan Presiden MPM) menghantar borang mereka pada pukul 11.30 malam 15 Jun iaitu sudah beberapa jam terlepas daripada tarikh akhir,” kata sumber MPM. – UTUSAN ONLINE











