KUALA LUMPUR – Menempatkan Khairul Anuar Mohamad dalam latihan pasukan Jepun dan Korea Selatan antara perancangan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menyiapkan pemanah negara itu menghadapi Sukan Olimpik 2020.
Biarpun gagal memahat sejarah muncul juara dunia pertama Malaysia, namun kejayaan Khairul Anuar meraih perak recurve individu dalam Kejohanan Memanah Dunia di Belanda semalam membolehkannya layak lebih awal ke temasya Tokyo.
“Banyak kelebihan yang diperoleh atlet apabila berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik lebih awal. Mereka boleh fokus terus kepada persediaan dan ada banyak masa.
“Saya ucap tahniah kepada Khairul Anuar, dan antara perkara yang berada dalam fikiran saya sekarang adalah meletakkan dia bersama pasukan hebat seperti Korea Selatan untuk persediaan ke Tokyo,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Khairul Anuar memberi tentangan sengit kepada bekas juara dunia yang juga pemanah ranking ketiga dunia, Bradly Ellison apabila tewas dalam saingan shoot-off 8-10. Kedua-dua pemanah sebelum itu terikat 5-5 selepas tamat lima set.
Kejayaan muncul naib juara, bukan sahaja menjadikan Khairul Anuar pemanah Malaysia pertama meraih pingat dalam kejohanan berprestij itu, malah membolehkannya menerima habuan RM40,000 dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam). – UTUSAN ONLINE











