ALOR SETAR – Dua bintang muda pasukan bola sepak Kedah yang sedang meningkat naik, Mohammad Fayadh Zulkifli Amin dan Mohd. Fadzrul Danel Mohd. Nizam kini ‘berharga’ RM5 juta.
Harga tebus nilai yang diletakkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu susulan lanjutan kontrak daripada tiga tahun kepada lima tahun terhadap kedua-dua pemain berusia 21 tahun terbabit.
Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris menerusi laman rasmi KFA berkata, lanjutan tersebut dibuat berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pemain yang sedang membantu Lang Merah mengharungi aksi Liga Malaysia musim ini.
“Lanjutan kontrak ini juga akan turut disertakan dengan harga tanda tebus nilai sebanyak RM5 juta bagi kedua-dua pemain selaras dengan potensi dan juga bakat yang mereka miliki.
“KFA akan memuktamadkan perjanjian serta lanjutan kontrak ini sejurus selepas aksi separuh akhir pertama Piala FA antara Kedah dan Felda United di Stadium Darul Aman malam ini,” katanya di sini hari ini.
Tambah Asmirul, langkah berkenaan juga sejajar dengan misi dan visi persatuan yang komited menjaga kebajikan serta bakat setiap pemain yang bernaung dibawah persatuan.
“Kami juga mahu memastikan situasi menang menang antara persatuan dan pemain jika pemain mendapat tawaran beraksi ke peringkat yang lebih tinggi kelak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











