Kerajaan kekalkan surcaj tarif elektrik - Utusan Malaysia

Kerajaan kekalkan surcaj tarif elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Jun – Kerajaan bersetuju mengekalkan kadar semasa surcaj tarif elektrik sebanyak 2.55 sen/kilowatt-jam (kWj) untuk pengguna bukan domestik khususnya pengguna komersial, industri dan lain-lain bagi tempoh 1 Julai 2019 hingga 31 Disember 2019.

Menurut Suruhanjaya Tenaga (ST), tiada pengenaan surcaj tarif elektrik kepada pengguna domestik.

Katanya, berdasarkan hasil semakan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) pada setiap enam bulan oleh ST bagi tempoh 1 Januari 2019 hingga 30 Jun 2019, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini menyebabkan surcaj ICPT sebanyak RM1,592.13 juta iaitu bersamaan dengan 2.94 sen/kWj.

“Antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan kos penjanaan dalam mekanisme ICPT di Semenanjung bagi tempoh tersebut ialah peningkatan harga purata bahan api arang batu kepada AS$99.235 (RM410.23) per tan metrik, berbanding harga yang telah diunjurkan dalam tarif asas bagi tempoh kawal selia kedua Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR RP2) iaitu AS$75 (RM310.04) per tan metrik,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Jelas ST, peningkatan harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global.

Dalam tempoh sama, katanya, melalui tatacara dan metodologi mekanisme IBR RP2 terdapat penjimatan daripada pelarasan perolehan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) yang berjumlah RM336.7 juta.

“Oleh itu, kerajaan telah memutuskan supaya penjimatan tersebut digunakan sepenuh­nya untuk mengurangkan surcaj ICPT bersama peruntukan daripada dana Kumpulan Wang Industri Elektrik berjumlah RM107.16 juta bagi meringankan beban rakyat,” katanya.

Sementara itu, TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kesan pelaksanaan ICPT adalah neutral kepada TNB dan tidak mempunyai sebarang kesan kepada operasi perniagaan serta kedudukan kewangan syarikat.

INFO

Kerajaan menetapkan baki surcaj ICPT sebanyak RM1,148.27 juta atau bersamaan 2.55 sen/kWj di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2019 akan dilaksanakan seperti berikut:

  • Kadar tarif asas adalah kekal pada 39.45 sen/kWj
  • Tiada surcaj tarif elektrik yang akan dikenakan kepada pengguna domestik
  • Kadar surcaj tarif elektrik sebanyak 2.55 sen/kWj akan dilepaskan kepada pengguna bukan domestik, yang juga merupakan kadar surcaj ICPT yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu bagi tempoh Januari hingga Jun 2019
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini