Keputusan saya muktamad - Dr. M - Utusan Malaysia

Keputusan saya muktamad – Dr. M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Meskipun mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri, namun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa keputusan beliau melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu adalah muktamad.

Jelas Dr. Mahathir, beliau terpaksa melantik pegawai-pegawai kerajaan dan Latheefa adalah salah satu daripadanya yang tidak sepatutnya dijadikan isu atau boleh menimbulkan sebarang masalah.

“Bukan masalah, saya lantik banyak orang dah pegawai-pegawai dan itu (Latheefa) salah seorang daripadanya.

“Keputusan itu (lantikan Latheefa sebagai Ketua Pengarah SPRM) muktamad…Muktamad tak kan nak patah balik, nanti orang kata saya U-turn pula,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini hari ini.

Latheefa dilantik mengetuai SPRM berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull yang memendekkan tempoh kontrak perkhidmatannya.

Pelantikan Latheefa yang juga bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM didakwa tidak menepati manifesto PH yang melarang pelantikan dalam kalangan ahli politik.

Malah, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH memberi penjelasan sewajarnya berhubung keputusan tersebut.

Anwar dilaporkan berkata, penjelasan mengenai perkara berkenaan penting apatah lagi pelantikan Latheefa bukan sahaja didakwa tidak bertepatan dengan manifesto PH dan Akta SPRM, malah tidak dimaklumkan kepada barisan Kabinet.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, Anwar berhak memberi pandangan atau meminta penjelasan berhubung pelantikan berkenaan.

“Hubungan saya baik (dengan Anwar) dia berhak tanya dan saya berhak jawab,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×