KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kepalanya tersangkut pada tudung periuk di Ampang di sini sebentar tadi.
Komander Operasi, Penguasa Bomba (PB) Kamalhairulnizam Kassim berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah di Jalan ¾, Taman Ampang Indah dekat sini pada pukul 8 malam.
“Kepala mangsa Mohd. Khalish Akil Hassan Basri, 6, tersangkut pada tudung periuk yang mempunyai lubang di tengah-tengahnya.
“Anggota bomba dari Balai Bomba Ampang terpaksa menanggalkan tudung periuk tersebut dari kepala kanak-kanak terbabit dengan cara menggunting tudung periuk berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kamalhairulnizam memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.04 malam mengenai kejadian tersebut dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba tiba di lokasi pada pukul 8.13 malam dan berjaya mengeluarkan tudung periuk itu dari kepala mangsa dalam masa 10 minit,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











