Kenangan kapal laut menggamit memori haji - Utusan Malaysia

Kenangan kapal laut menggamit memori haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula 4 Julai ini sekali lagi Tanah Suci Mekah dan Madinah bakal menyambut ketibaan ribuan umat Islam di Malaysia yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah bagi menunaikan ibadat haji. Pun Namun begitu, kemudahan yang dikecapi oleh jemaah haji sekarang jauh berbeza dengan suasana pada awal abad ke-20 atau lebih awal dari waktu itu. Jemaah haji pada masa itu bukan sahaja terpaksa bergolok gadai untuk mengumpul wang tetapi juga perlu menempuh perjalanan yang sangat lama untuk menunaikan ibadat haji.

Catatan awal mengenai perjalanan jemaah haji ke Tanah Suci Mekah boleh dilihat dalam Hikayat Hang Tuah yang dimuat dalam Tuhfah al-Nafis karya Raja Ali Haji yang menceritakan mengenai kisah laksamana Melaka itu menunaikan rukun Islam kelima itu.

Selepas itu, perjalanan ke Tanah Suci Mekah terus ditransformasikan dan terdapat beberapa rekod awal mengenai perjalanan jemaah haji dari Tanah Melayu ke Mekah yang masih tersimpan rapi di Muzium Negeri Pulau Pinang dan Galeri Haji Pulau Pinang.

Memuatkan artikel berkaitan…

KAPAL SEBAGAI PENGANGKUTAN UTAMA

Sejak kurun ke-15 sehingga 1976, jemaah haji di Tanah Melayu menggunakan kapal sebagai pengangkutan utama ke Tanah Suci Mekah. Perkara yang membezakan perjalanan mereka ialah teknologi kapal waktu itu.

Pada zaman dahulu orang Melayu menggunakan kapal arang untuk ke Mekah. Namun begitu, tidak ramai yang dapat ke sana kerana kosnya yang sangat mahal. Antara kapal terkenal waktu itu yang membawa rombongan haji ialah Mendam Berahi.

Pelayaran menggunakan kapal ini boleh mengambil masa hingga 50 hari untuk satu hala dan disebabkan itu waktu itu perjalanan pergi dan balik termasuk menunaikan ibadat haji mengambil masa kira-kira setahun lamanya.

Kemudian, dengan pengenalan kapal api pada awal abad ke-20 pelayaran ke Mekah telah dipendekkan kepada 14 hari. Antara pelabuhan yang menjadi pusat pengumpulan jemaah haji waktu itu ialah pelabuhan Singapura, Klang dan Pulau Pinang.

Bermula dari tahun 1936 hingga 1950, sebuah syarikat, Blue Funnel Line atau juga dikenali sebagai Kapal Haji Serombong Biru telah menyediakan 21 buah kapal laut dengan pelbagai nama untuk membolehkan umat Islam di negara ini menunaikan ibadat haji. Menjelang tahun 1970, kapal kapal-kapal milik syarikat Great Malaysia Line iaitu Malaysia Kita dan Malaysia Raya mula digunakan untuk membawa jemaah haji negara.

PULAU PINANG JEDDAH KEDUA DAN SYEIKH HAJI

Sebagai salah satu pelabuhan yang sangat masyhur di Tanah Melayu ketika musim haji, Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang sering menjadi lokasi tumpuan jemaah haji. Menurut buku Masyarakat Melayu Pulau Pinang terbitan Universiti Sains Malaysia (USM), Masjid Melayu Lebuh Acheh pernah mendapat jolokan Jeddah kedua kerana peranannya sebagai pusat perkumpulan jemaah haji yang berbesar di Semenanjung terutamanya dari Perlis, Kedah, Perak utara, Kelantan, Sumatera dan selatan Thailand.

Ketika musim haji suasana di sini sangat meriah dengan segala aktiviti berkaitan haji seperti pendaftaran haji, syeikh haji, kelas agama, perniagaan kitab dan barangan haji, penginapan, jual beli dan lain-lain tertumpu di kawasan ini.

Pada hari pelayaran kapal haji dari Pelabuhan Swettenham ke Jeddah, suasana di kawasan ini menjadi lebih meriah dan hiruk pikuk dengan suara jemaah haji dan pengiring mereka yang berjalan beramai-ramai ke pelabuhan sambil menjinjing beg dan menjunjung barangan ringan di atas kepala.

Waktu itu, segala urusan berkaitan haji diuruskan sepenuhnya oleh syeikh haji yang merupakan ejen haji berlesen dengan dipantau oleh Pusat Kawalan Haji Pulau Pinang. Di pelabuhan Pulau Pinang khasnya terdapat ejen kapal yang menghantar syeikh haji untuk memberitahu tarikh pelayaran dan nama kapal yang akan dinaiki. Pada masa sama, syeikh haji ini juga melantik wakilnya di setiap daerah untuk mencari jemaah yang ingin ke Mekah pada tahun itu.

Wakil syeikh haji ini kemudiannya akan berperanan untuk mendapatkan maklumat setiap calon dan memungut wang tambang serta belanja dan menentukan nama syeikh haji yang akan menguruskan urusan ibadat haji semasa di Mekah dan Madinah.

KAPAL TERBANG

Seiring dengan perubahan zaman, peranan syeikh haji kini telah digantikan sepenuhnya oleh muassasah dalam menguruskan perjalanan ibadah dan kebajikan jemaah haji. Malah, penggunaan kapal laut juga telah digantikan sepenuhnya dengan menggunakan kapal terbang selepas Tabung Haji memutuskan pada tahun 1976 merupakan tahun terakhir pelayaran jemaah haji menggunakan kapal.

Menerusi pembaharuan ini, urusan untuk menunaikan ibadah di tanah suci dengan menaiki kapal terbang menjadi lebih mudah, selesa dan menjimatkan terutama dari segi masa perjalanan. Lebih penting, jika dahulu pelayaran menggunakan kapal laut mengambil masa kira-kira dua minggu tetapi dengan kapal terbang ia hanya memerlukan antara lapan hingga sembilan jam sahaja untuk tiba sama ada Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah atau Lapangan Terbang Prince Mohammad Abdulaziz, Madinah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini