KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh wanita warga asing ditahan selepas disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah premis hiburan di USJ 21, di Subang Jaya malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam dijalankan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor itu, seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 50-an dipercayai penjaga premis, serta dua lelaki warga Bangladesh yang juga pekerja di pusat hiburan berkenaan turut ditahan.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Azmi Syukor berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua GRO tersebut tidak memiliki permit kerja yang sah.
“Wanita yang ditahan terdiri daripada lima warga Filipina dan dua warga Thailand berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun.
“Difahamkan setiap seorang mengenakan caj perkhidmatan RM50 sejam untuk menemani pelanggan yang berhibur di premis berkenaan dan mereka mampu mengaut sehingga RM500 dalam satu malam,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai serbuan tersebut.
Menurut Azmi, premis tersebut pernah diserbu pada April lalu dan diusahakan oleh individu yang sama.
“Menerusi serbuan itu, kita turut memeriksa 30 pelanggan, termasuk dua wanita namun kesemuanya dibebaskan selepas pemeriksaan tersebut.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen dan Peraturan 39(B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











