IPOH – Sebuah kelab berbasikal di bandar raya ini, Cimut Cycling Team (CCT) menganjurkan Program Amal Kayuhan Sahur Ke Rumah Anak-anak Yatim serta memberi sumbangan semalam.
Pengerusi CCT, Norhashima Ayub Husaini berkata, program itu disertai lebih 60 ahli CCT yang berkayuh ke Rumah Anak Yatim Darussalam di Kampung Melayu Sungai Rapat.
Menurutnya, para peserta berkumpul dan memulakan kayuhan di Dataran KTM Ipoh menuju ke rumah anak yatim tersebut sejauh kira-kira 25 kilometer.
“Para peserta kayuhan turut bersahur bersama anak yatim dan memberikan duit raya kepada mereka serta sumbangan wang tunai kepada pihak pengurusan rumah anak yatim.
“Ketika kunjungan kami, hanya terdapat kira-kira 30 orang anak yatim sahaja, kerana sebahagian daripada mereka sudah pulang ke kampung untuk menyambut hari raya Aidilfitri bersama-sama keluarga,” katanya.

Menurutnya, CCT memberikan sumbangan wang tunai kepada pengurusan rumah anak yatim berkenaan hasil daripada derma pelbagai pihak.
Katanya, CCT terharu dengan sambutan yang diterima daripada pihak pengurusan rumah anak yatim Darussalam yang menyambut baik kedatangan mereka.
Norhashima turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan untuk kelab menjayakan program tersebut.
“Ini merupakan program pertama CCT dan saya berharap kami dapat menganjurkan program amal seperti ini pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










